Ahad, 1 Julai 2018 | 3:23pm
PERANCANG utama Negeri Sembilan, Mohd Faizal Abu Bakar

Faizal yakin NS pertahan maruah

 

SEREMBAN: Perancang utama Negeri Sembilan, Mohd Faizal Abu Bakar yakin impian mereka untuk mengekalkan pasukan itu dalam Liga Super musim depan mampu direalisasikan.

Pemain berpengalaman berusia 27 tahun itu berkata, biarpun baharu saja mengalami tiga kekalahan berturut-turut kepada Perak, Pahang dan Terengganu, a belum mematahkan semangat pemain skuad Hobin Jang Hobin untuk mempertahankan maruah.

"Saya masih yakin hasrat untuk mempertahankan pasukan dalam Liga Super bagi musim depan mampu dicapai kerana masih ada baki lima perlawanan sebelum saingan musim ini menutup tirainya," kata Faizal.

"Namun, saya akui kami perlu menang kesemua perlawanan itu untuk meningkatkan kutipan mata sekali gus meletakkan pasukan dalam kedudukan yang selamat carta liga.

"Biarpun tugas dan tanggungjawab untuk mencapai kemenangan pada semua perlawanan itu bukan mudah, saya yakin mampu melakukannya terutama tiga daripada perlawanan berkenaan yang akan berlangsung di gelanggang sendiri."

Faizal berkata, kekalahan tiga perlawanan berturut-turut itu jelas memberikan pengajaran berguna buat dirinya dan rakan lain.

Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan itu tidak menafikan beberapa kesilapan kecil yang dilakukan dan kegagalan mematuhi arahan serta perancangan ketua jurulatih, Mario Lemos, memberi kesan kepada keputusan perlawanan terbabit.

"Kami dapat banyak pengajaran daripada perlawanan itu dan perlu kembali fokus untuk memastikan setiap kelemahan dapat diperbaiki serta tidak berulang lagi pada lima perlawanan akan datang, demi untuk memastikan kemenangan dicapai.

"Kami juga tidak akan berputus asa dan akan terus berusaha memantapkan lagi persembahan kerana sedar harapan peminat dan rakyat Negeri Sembilan yang mahukan pasukan ini terus kekal dalam Liga Super musim depan," katanya.

Skuad Rusa akan meneruskan cabaran menentang PKNS FC di gelanggang lawan pada 11 Julai ini disusuli pertembungan PKNP FC (14 JUlai), Selangor (18 Julai), Kuala Lumpur (22 Julai) dan Melaka United (28 Julai).

Ketika ini, skuad berkenaan masih kekal di tangga kedua tercorot carta liga dengan kutipan 12 mata, selepas menamatkan 17 perlawanan.

Berita Harian X