Isnin, 9 Julai 2018 | 5:05pm
LEE Andrew Tuck. - Foto NSTP

Tuck serap semangat England di Piala Dunia

KUALA TERENGGANU: Pemain import Terengganu FC (TFC) kelahiran England, Lee Tuck mengakui semangatnya kian membara untuk membantu pasukan mencatat kemenangan bertemu Kuala Lumpur di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Malah pemain tengah digelar Rooney Terengganu itu juga mengakui kemaraan pasukan negaranya ke peringkat separuh akhir Piala Dunia membakar semangatnya untuk memperagakan aksi bertenaga bertemu skuad warga kota itu.

"Saya tidak membandingkan persembahan pasukan England dengan skuad TFC, tapi kemaraan skuad negara kelahiran saya itu adalah bagus dan memberi semangat kepada saya untuk memperagakan aksi terbaik malam esok.

"Saya juga menuntut rakan sepasukan supaya mampu mempamerkan aksi lebih baik kerana ini peluang terbaik untuk mengutip tiga mata kerana beraksi di tempat sendiri dengan baki lima perlawanan," kata pemain berusia 30 tahun itu.

Dalam aksi pusingan pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras Mei lalu, skuad TFC yang muncul naib juara Liga Perdana musim lalu, tewas 0-3 kepada Kuala Lumpur hasil kesilapan mudah.

"Kami tewas hasil kesilapan kami sendiri selain gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang dan ditambah aksi hebat dipamerkan penjaga gol lawan yang menghalang kami untuk menghasilkan gol.

"Tapi sasaran pada kali ini adalah untuk mengambil kembali tiga mata yang hilang di Kuala Lumpur apatah lagi pasukan kami mempunyai motivasi yang tinggi selepas berehat hampir dua minggu.

"Bagaimanapun kami tetap berwaspada dengan kebangkitan skuad itu yang pasti mahu melebarkan lagi rekod kemenangan ke atas kami di samping jurulatih mereka tahu bagaimana untuk mendapatkan yang terbaik daripada pemainnya dan ini bakal menjadi cabaran besar kepada kami malam esok," kata Tuck.

Berita Harian X