Isnin, 9 Julai 2018 | 7:03pm
PHILIPPE Coutinho. - Foto AFP

PSG mahu pecah rekod dunia lagi

 

MADRID: Paris Saint-Germain (PSG) cuba mencatat satu lagi rekod perpindahan termahal dunia apabila berminat mendapatkan Philippe Coutinho dari Barcelona dengan nilai 239 juta pound (RM1.2 bilion). 

Pemain tengah kelahiran Brazil itu baru saja menyertai kelab gergasi Sepanyol itu dari Liverpool Januari lalu dengan nilai perpindahan 142 juta pound (RM763 juta). 

Pencapaian Coutinho bersama Barca ialah menjaringkan 10 gol dan melakukan enam hantaran yang menghasilkan gol dalam 22 penampilan untuk semua kejohanan. 

Bagaimanapun, Mundo Deportivo melaporkan PSG melakukan bidaan yang lumayan sehingga boleh memperoleh keuntungan 100 juta pound (RM537 juta) kepada Barcelona. 

Juara Liga Sepanyol itu mengakui tidak akan menerima sebarang tawaran bernilai kurang 353 juta pound (RM1.8 bilion) iaitu nilai klausa pelepasan. 

Coutinho adalah tonggak Brazil di Piala Dunia selepas membantu pasukan berkenaan mara sehingga ke suku akhir dengan meledak tiga gol sekali gus berjaya membayangi rakan sepasukan yang juga pemain bintang PSG, Neymar.

Pada tahun lalu, PSG membayar klausa pembelian bernilai 222 juta Euro (RM1.128 bilion) kepada Barcelona untuk mendapatkan khidmat Neymar sekali gus menjadi rekod perpindahan dunia. - Agensi

56 dibaca
Berita Harian X