Ahad, 15 Julai 2018 | 12:56pm
PEMAIN PKNP FC, Ahmad Khuzaimi Piee bersaing menanduk bola dengan pemain Negeri Sembilan, Angel Aldeguer Guirado pada perlawanan Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PEMAIN PKNP FC, Ahmad Khuzaimi Piee bersaing menanduk bola dengan pemain Negeri Sembilan, Angel Aldeguer Guirado pada perlawanan Liga Super Malaysia 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Abu Bakar puji pemain PKNP

SEREMBAN: Abu Bakar Fadzim amat lega dengan kemenangan 2-1 pasukan PKNP FC ke atas Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Ketua jurulatih itu menyifatkan kemenangan keenam yang dicatatkan PKNP itu bukan sekadar dapat mengelak tekanan untuk berhadapan dengan perlawanan akan datang, malah mampu memberi motivasi yang tinggi kepada pemain.

"Saya amat bersyukur kerana kemenangan malam ini amat bermakna buat kami dan ianya dapat menginjakkan lagi kedudukan pasukan dalam carta liga.

"Walaupun pemain dilihat menerima tekanan daripada Negeri Sembilan terutama pada separuh masa pertama, tetapi kami berjaya mengimbangi situasi itu pada separuh masa kedua.

"Perubahan yang saya buat sebaik memulakan separuh masa kedua dengan menggunakan dua penyerang ternyata menjadi, apabila dapat memberikan tekanan kepada Negeri Sembilan dan akhirnya menjaringkan gol," katanya selepas tamat perlawanan malam tadi.

Menurut Abu Bakar, keputusan yang amat baik itu melengkapkan kutipan empat mata daripada dua perlawanan di tempat lawan dan sekali gus membolehkan skuad bimbingannya keluar daripada tekanan.

Beliau berkata, biarpun masih berbaki tiga perlawanan liga dan ruang masih terbuka buat kelompok bawah untuk kekal dalam liga utama itu musim depan, namun beliau yakin kedudukan PKNP tidak akan tergugat.

"Dengan kemenangan malam ini, kami sudah boleh menarik nafas kerana hasrat untuk terus kekal dalam Liga Super mudah sudah meyakinkan.

"Bagi saya, sasaran yang kita tetapkan untuk musim pertama dalam Liga Super sudah hampir tercapai walaupun pembentukan pasukan sejak di peringkat awal liga dibuat dalam serba kekurangan terutama membabitkan pemain import.

"Tetapi pemain saya berjaya membuktikan kemampuan serta semangat yang tinggi untuk menjulang nama pasukan ini, kerana hakikatnya bukan mudah bersaing dalam liga yang sangat kompetetif. Saya puas hati dan syabas kepada pemain," katanya.

Jaringan Mohamad Hafiz Ramdan pada minit ke-64 dan Kim Sang Woo, minit ke-83, berjaya memperkukuhkan lagi kedudukan kelab dari Perak itu di tangga kelapan carta liga ketika ini dengan mengumpul 22 mata.

Jaringan penyamaan Nicolas Velez pada minit ke-78 belum cukup membantu Negeri Sembilan apabila merakamkan kekalahan kelima berturut-turut musim ini dan kekal di dasar liga dengan 12 mata.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X