Ahad, 15 Julai 2018 | 1:12pm
KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos . - Foto Owee Ah Chun
KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos . - Foto Owee Ah Chun

Lemos kecewa NS terus putih mata

SEREMBAN: "Walaupun kita sudah cuba dan buat latihan tapi ia tetap berlaku. Memang ia bukan mudah seperti yang disangka dan jika keadaan begini berterusan, sukar untuk pasukan bangkit," kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos.

Beliau nyata kecewa dengan keputusan perlawanan selepas pasukannya tewas kepada PKNP FC, 1-2, dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Pengendali dari Portugal itu berkata, pihaknya akur dengan corak persembahan yang dipamerkan anak buahnya apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di tempat sendiri untuk mendapatkan kemenangan.

"Pemain dilihat berusaha seperti apa yang kita mahukan dan berjaya mencipta beberapa peluang gol, tetapi mereka gagal memanfaatkannya dengan baik.

"Saya sudah cuba berikan yang terbaik ketika latihan dan mengatasi beberapa kelemahan, tetapi nyata jelas ia belum cukup untuk pasukan ini bangkit mencipta kemenangan," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Lemos seperti hilang kata-kata selepas keputusan perlawanan malam tadi kerana sedar kedudukan skuad Hobin Jang Hobin dalam Liga Super musim depan ibarat seperti `telur di hujung tanduk'.

Menurut jurulatih berusia 34 tahun itu, dengan berbaki tiga perlawanan liga, ia kelihatan sukar untuk mempertahankan kedudukan pasukan berkenaan dalam liga utama itu musim depan.

Katanya, beliau akui persembahan pasukannya perlu segera berubah ketika berdepan tiga perlawanan terakhir liga iaitu berdepan Selangor, Melaka United dan Kuala Lumpur.

"Sebenarnya, kami sudah terlepas peluang pada dua perlawanan sebelum ini. Apa pun kami perlu terus berusaha dan saya berharap pasukan mendapat kembali rentak terbaik pada tiga baki perlawanan dengan dua daripadanya di tempat sendiri," katanya.

 

 

Berita Harian X