Isnin, 16 Julai 2018 | 1:51pm
 ZULHAMIZAN Zakaria. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
ZULHAMIZAN Zakaria. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

The Cops belum angkat bendera putih

KUANTAN: Tiada istilah berputus asa buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) biarpun misi ke Liga Super musim depan seakan tipis dengan saingan Liga Perdana hanya berbaki tiga perlawanan.

Pengendali The Cops, Zulhamizan Zakaria berkata, perjuangan perlu diteruskan untuk memastikan keputusan terbaik diraih dalam saingan liga musim ini.

"Selagi ada peluang, kita akan mempamerkan prestasi terbaik dengan mengharapkan tiga baki perlawanan yang dilalui merekodkan kemenangan.

"Dalam bola sepak, tiada erti putus asa, sebaliknya PDRM masih lagi berpeluang untuk membuktikan sesuatu terutama kembali ke Liga Super musim depan.

"Peluang merebut satu lagi slot masih terbuka dan kami perlu memperkasakan pasukan terutama bersaing dengan FELCRA FC dan MIFA," katanya.

Selepas 17 perlawanan, The Cops menduduki tangga keempat dengan mengutip 25 mata manakala FELCRA FC pula mengumpul 31 mata dan MIFA (26 mata).

Perebutan satu slot ke Liga Super musim depan sengit memandangkan FELDA United FC sudah mengutip 38 mata dan sukar buat tiga pasukan mengejar.

Justeru, PDRM perlu menang baki tiga perlawanan bertemu UiTM FC Rabu ini, diikuti FELDA United (23 Julai) dan Sabah (26 Julai).

Ditanya peluang PDRM menewaskan UiTM Rabu ini, Zulhamizan mahu anak buahnya kembali bangkit meraih kemenangan sebagai motivasi kepada pasukan.

"Dua kekalahan berturut-turut kepada FELCRA FC dan Pulau Pinang perlu diubah dan mereka segera bangkit untuk melakar kemenangan," katanya.

 

 

Berita Harian X