Rabu, 18 Julai 2018 | 6:20pm
BADHRI Radzi - Foto fail

Piya mahu kembali musim depan

KOTA BHARU: Bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi dan pemain pertahanan, Amiridzwan Taj mahu kembali menyertai mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Badhri dan Amiridzwan juga sedia berpisah dengan The Red Warriors (TRW) jika skuad itu tidak lagi berminat dengan khidmat mereka.

Amiridzwan, 32, berkata, dia dan Badhri diibaratkan 'gantung tidak bertali' apabila pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tidak menamatkan kontrak secara rasmi sekali gus menyukarkan mereka mengintai peluang bersama pasukan lain musim ini.

"Kami tidak dapat buat apa-apa keputusan lagi ketika ini kerana masih memiliki kontrak dengan Kelantan serta beberapa perkara yang belum diselesaikan majikan (KAFA).

"Dan kalau ikut perancangan memang kami mahu beraksi lagi dengan mana-mana pasukan yang berminat tetapi apa yang dilakukan KAFA ibarat membunuh karier kami kerana kami tidak dibenarkan langsung bermain dengan pasukan.

"Kami faham kehendak jurulatih... jika kami tiada dalam perancangan sekalipun, beri kami ruang untuk berlatih bersama pasukan sehingga tamat kontrak dan itu sekurang-kurang memberi kepercayaan jika ada pasukan lain mahukan khidmat kami musim depan," katanya ketika ditemui pada Kejohanan Futsal Kolej Komuniti Kelantan serta sesi pemilihan bakat untuk ke peringkat kebangsaan, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemain itu digugurkan TRW pada pertengahan musim ini selepas pasukan dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan Syria, Fajer Ebrahim.

Namun, timbul isu mengenai pengguguran apabila ia dilakukan secara tidak rasmi dan kontrak mereka pada musim ini juga belum ditamatkan.

Mengulas mengenainya, Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya ketika ditemui turut memaklumkan dia mahu menyertai mana-mana pasukan sebaik dilepaskan majikan nanti.

"Memang saya nak main lagi... jika ada tawaran pada musim depan, saya bersedia untuk berunding.

"Sekarang ini sudah ada satu pasukan yang mahu berjumpa saya untuk berunding namun keputusan tidak boleh dibuat kerana saya masih ada kontrak dengan Kelantan," katanya.

Berita Harian X