Sabtu, 21 Julai 2018 | 5:13pm
SHAH ALAM 11 JULAI 2018. Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mario Licinio Guerreiro Lemos ketika liga super antara PKNS FC menentang Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam. STR/OWEE AH CHUN.

Lemos tuntut pemain NS pertahan maruah

SEREMBAN: Mario Lemos menuntut pemain Negeri Sembilan membuktikan bahawa mereka masih memiliki kredibiliti dan kualiti yang tinggi dengan memastikan kemenangan dicapai ke atas Kuala Lumpur, pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Cheras, malam esok.

Lemos berkata, pemain skuad Hobin Jang Hobin perlu mematuhi perancangan bagi mengelak tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Justeru katanya, pemain Negeri Sembilan perlu memperagakan aksi lebih agresif sepanjang tempoh 90 minit permainan dan bertindak bijak memanfaatkan setiap peluang jaringan, jika mahu memastikan tiga mata yang disasarkan itu dicapai.

"Jika setiap pemain dapat melaksanakan tugas sepertimana yang dirancangkan, saya fikir kita akan mempunyai peluang untuk menewaskan Kuala Lumpur.

"Tambahan pula, perlawanan ini amat penting dan boleh diibaratkan sebagai penentu nasib pasukan dalam liga musim ini dan sudah seharusnya ia tidak boleh dipersia-siakan jika mahu maruah pasukan itu dipertahankan," katanya.

"Saya sudah cuba berusaha untuk menyediakan pasukan yang mantap menjelang pertembungan dengan Kuala Lumpur malam esok dan saya mahukan semua pemain yang akan dipilih dapat beraksi untuk menang.

"Tidak dinafikan, saya terpaksa membuat sedikit perubahan dalam barisan kesebelasan utama selepas khidmat Mohd Faizal (Abu Bakar) tidak dapat diturunkan akibat penggantungan.

"Namun, ianya tidak menjejaskan persiapan dan pemain sudah diingatkan supaya kekal fokus serta tidak melakukan kesilapan mudah, sebaliknya perlu mengekalkan corak persembahan sepertimana yang dipamerkan ketika menewaskan Selangor di gelanggang sendiri, Rabu lalu," katanya di sini, hari ini.

Lemos mahu anak buahnya lebih berhati-hati menyerap serangan skuad ibu kota itu kerana pertembungan itu nanti dijangka amat sukar dan sebarang kelekaan sudah pasti membawa padah.

Berita Harian X