Isnin, 23 Julai 2018 | 1:26pm
PEMAIN Negeri Sembilan meraikan gol pertama pada perlawanan bolasepak Unifi Liga Super Malaysia 2018 di antara Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. - Foto Hafiz Sohaimi

Penyokong NS kecewa nasib pasukan

SEREMBAN: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) digesa menyegerakan proses pemilihan barisan kepemimpinan baharu bagi membolehkan tumpuan dapat diberikan kepada persiapan musim depan selepas skuad Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana.

Presiden Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com), Ahmad Zaini Baharun berkata, penyokong kecewa dengan kegagalan barisan pemain ketika ini yang gagal menjulang nama pasukan seperti diharapkan.

"Pembentukan barisan kepemimpinan baharu PBNS perlu dilakukan secepat mungkin supaya perancangan lebih awal dapat dilakukan untuk pembentukan pasukan bagi saingan musim depan.

"Persiapan yang terburu-buru dan kurang tepat terutama membabitkan pemilihan pemain import pada awal musim ini jelas memberi kesan apabila pencapaian pasukan begitu mengecewakan, bukan saja mereka gagal mencapai sasaran ditetapkan, malah tersingkir ke Liga Perdana.

"Kami sudah menjangkakan keadaan bakal menimpa pasukan ini musim ini kerana mendapati mereka dilihat tidak bersedia sepenuhnya selepas mendapat peluang kembali ke Liga Super secara mengejut dan bukannya atas faktor merit.

"Kita semua harus menerima hakikat itu dengan hati terbuka, namun kami berharap PBNS dapat memberikan perhatian serius terhadap persiapan pembentukan pasukan itu musim depan, supaya pasukan yang dibentuk kelak benar-benar mantap dan mampu meletakkan kembali pencapaian pasukan yang membanggakan," katanya di sini, hari ini.

Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana selepas dikecewakan Kuala Lumpur, 1-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.

Kekalahan itu sekali gus menutup peluang skuad bimbingan Mario Lemos untuk kekal beraksi dalam Liga Super musim depan walaupun mencatat kemenangan dalam perlawanan terakhir menentang Melaka, di gelanggang sendiri, 28 Julai ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaini berkata, senario saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah berubah dengan setiap pasukan tidak boleh lagi mengambil pemain secara `tangkap muat'.

Berita Harian X