Ahad, 5 Ogos 2018 | 1:43pm
PEMAIN Terengganu, Tchetche Hermann Brice Kipre (tengah) meraikan kemenangan gol bersama rakan pasukannya dalam aksi unifi Piala Malaysia 2018 Kuala Lumpur Bertemu Terengganu FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. - Foto Aswadi Alias

Drogba Ganu mahu terus 'mengganas'

KUALA TERENGGANU: Penyerang sensasi Terengganu FC (TFC), Kipre Tchetche melaungkan amaran awal mahu 'mengganas' dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas hasrat untuk memenangi Kasut Emas dalam saingan Liga Super terlepas ke tangan pemain Selangor, Rufino Segovia.

Malah pemain dari Ivory Coast yang digelar Drogba Ganu itu yang meledak hatrik ketika meratah Kuala Lumpur 5-1 pada aksi pertama Kumpulan A saingan Piala Malaysia malam tadi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur turut menyasarkan untuk mendakap trofi berprestij itu musim ini.

"Kami membawa semangat yang membara dari Terengganu untuk menang aksi pertama peringkat kumpulan. Itulah matlamat utama kami dan sudah dibuktikan pemain walaupun sedar bukan tugas mudah kerana pernah tumbang 0-3 di tangan skuad itu di stadium yang sama pada awal Jun lalu.

"Kejayaan terbesar malam tadi adalah hasil kerjasama dan semangat sepasukan pemain yang bekerja keras dari awal permainan hinggalah wisel penamat selain strategi berkesan jurulatih yang diketuai Irfan Bakti Abu Salim.

"Sebagai kapten saya begitu gembira dengan kemenangan ini lebih-lebih lagi beraksi di tempat lawan. Lebih manis saya dapat membantu pasukan dengan menjaringkan tiga gol sesudah gagal muncul penjaring terbanyak Liga Super musim ini," kata Tchetche.

Pada perlawanan itu, anak bongsu daripada enam beradik yang sebelum ini mencipta nama bersama kelab Al-Suwaiq dalam Liga Oman meledak hatrik pada minit ke-24, 54 dan 72, manakala dua jaringan lagi disumbangkan Lee Tuck menerusi sepakan percuma pada minit ke-44 dan tandukan pemain Montenegro, Igor Zonjic pada minit ke-64.

Mengulas lanjut, anak pensyarah itu berkata, walaupun terlalu awal untuk menilai keupayaan pasukannya selepas meraih kemenangan bergaya itu, ia tetap permulaan yang baik dan membanggakan buat skuad Penyu.

"Ini permulaan baik buat kami sebelum beraksi dalam perlawanan seterusnya kerana ia menyuntik semangat kami untuk beraksi lebih baik dan berharap rakan sepasukan mampu mengulangi lagi pencapaian ini," kata Tchetche.

Berita Harian X