Ahad, 5 Ogos 2018 | 6:13pm
SETIAUSAHA Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John. - Foto Owee Ah Chun

Hati-hati FAM!

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul John menasihatkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya berhati-hati untuk mengambil pemain naturalisi bagi mewakili skuad kebangsaan.

Ini kerana ia boleh memberi implikasi buruk kepada FAM sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan yang digariskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) seperti yang dialami Timor Leste pada Januari tahun lalu.

"Di pihak AFC, kami tidak ada halangan untuk Malaysia atau mana-mana negara yang mahu menggunakan pemain naturalisasi selagi ia mengikut peraturan FIFA.

"Status pemain luar itu perlu diteliti sama ada dia memiliki pertalian darah atau sudah menetap dalam tempoh tertentu. Jika peraturan tidak dipatuhi tindakan disiplin boleh diambil," katanya kepada Sukan NSTP.

Dalam laporan sebelum ini, FAM bersedia membuka langkah baru dengan membenarkan pemain naturalisasi mewakili Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Cadangan itu mendapat reaksi positif ramai pihak termasuk kerajaan yang memberi lampu hijau tapi dengan syarat pemain tempatan tidak diabaikan.

Namun tidak semua pasukan yang menggunakan pemain naturalisasi bernasib baik seperti juara dunia Perancis, Sepanyol, Portugal dan Jepun kerana Timor Leste sudah menerima akibat kerana keghairahan mereka mencari kejayaan dalam tempoh singkat.

AFC pada Januari tahun lalu menjatuhkan hukuman kepada Persekutuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) kerana didapati bersalah kerana memalsukan dokumen 12 pemain Brazil untuk mewakili negara itu.

Berdasarkan peraturan FIFA, seseorang pemain luar layak mewakili pasukan kebangsaan jika menetap sekurang-kurangnya lima tahun di negara itu selepas berusia 18 tahun atau memiliki pertalian darah di negara berkenaan.

Atas kesalahan itu, FFTL tidak dibenarkan untuk bertanding di Piala Asia 2023 serta denda AS$20,000 (RM81,650) manakala 29 perlawanan antarabangsa mereka dibatalkan.

Sementara Setiausaha Agung FFTL Amandio de Araujo Sarmento yang terbabit dengan kontroversi itu digantung tiga tahun daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak dan denda AS$9,000 (RM36,742).

"Banyak implikasi jika peraturan penggunaan pemain naturalisasi tidak dipatuhi, ada yang didenda kehilangan mata jadi FAM perlu mematuhi segala peraturan," jelas Windsor.

Berita Harian X