Isnin, 6 Ogos 2018 | 5:26pm
TIMBALAN Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi. - Foto Saddam Yusoff

FAM tak terburu-buru

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan terburu-buru untuk mendapatkan khidmat pemain naturalisasi kerana tidak mahu pelaksanaannya mengundang masalah.

Timbalan Presidennya, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata, mereka kini masih lagi di peringkat awal untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi program pemain naturalisasi itu.

"Masih di peringkat awal, kita belum tahu lagi pemain negara mana kita akan ambil, umur pemain, bagaimana kita akan laksanakan kerana pelbagai aspek perlu diteliti.

"Kita mahu menubuhkan satu jawatankuasa khas di mana saya akan menjadi pengerusinya. Ia akan dianggotai pakar-pakar dalam bola sepak, pegawai KBS (Kementerian Belia dan Sukan), KDN (Keselamatan Dalam Negeri), wakil AFC dan beberapa agensi lain untuk kita bincangkan mengenai perkara ini.

"Mungkin ia akan ambil masa, tapi 'biar selamat asal selamat' kerana kita tidak mahu ada kecacatan dalam pelaksanaannya," katanya.

Sukan NSTP hari ini melaporkan mengenai peringatan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berhubung kesan buruk pemain naturalisasi jika FAM tidak mematuhi peratutan yang digariskan FIFA.

Ini terjadi ke atas  Persekutuan Bolasepak Timor Leste (FFTL) kerana didapati bersalah memalsukan dokumen 12 pemain Brazil untuk mewakili negara itu pada Januari tahun lalu.

Berdasarkan peraturan FIFA, seseorang pemain luar layak mewakili pasukan kebangsaan jika menetap sekurang-kurangnya lima tahun di negara itu selepas berusia 18 tahun atau memiliki pertalian darah di negara berkenaan.

Atas kesalahan itu, FFTL tidak dibenarkan untuk bertanding di Piala Asia 2023 serta didenda AS$20,000 (RM81,650) manakala 29 perlawanan antarabangsa mereka dibatalkan.

Yusoff berkata, meskipun akan mengambil masa, beliau percaya pengambilan pemain naturalisasi bagi skuad kebangsaan tetap akan dilaksanakan.

"Kita sedar mengenai implikasi buruk jika tidak mematuhi peraturan sebab itu kita mahu melalui proses yang betul walaupun ia akan mengambil masa untuk mendapatkan pemain naturalisasi terbaik bagi mewakili skuad kebangsaan," katanya.

 

Berita Harian X