Rabu, 8 Ogos 2018 | 7:54pm
NABIL Fekir. - Foto AFP

Giroud 'hasut' Fekir ke Chelsea

LONDON: Olivier Giroud mendakwa dia dan Eden Hazard cuba meyakinkan Nabil Fekir untuk menyertai Chelsea.

Sepanjang musim panas, Fekir dilihat bakal menyertai Liverpool dari Lyon tetapi perpindahan itu musnah selepas perbincangan lanjut.

Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri masih mencari pemain luar sebelum jendela perpindahan ditutup dan skuad Blues sedang mempertimbangkan perpindahan pemain berusia 25 tahun itu.

Giroud mendakwa bahawa dia ada bercakap dengan rakan senegaranya itu ketika Piala Dunia lalu selepas Liverpool menutup perbincangan dan Hazard juga terjebak dalam usaha meyakinkan Fekir.

“Saya bercakap dengan dia ketika kami bersama dalam skuad kebangsaan Perancis, apabila perpindahannya ke Liverpool tak menjadi kenyataan,” kata Giroud kepada Foot Mercato. 

“Selepas itu kami berbincang mengenai Chelsea dan saya fikir Eden juga memberitahu beberapa perkara kepadanya.

“Kami hanya bersikap jujur kepadanya, dia pemain hebat, tapi saya tidak tahu jika sesuatu akan berlaku sebelum jendela perpindahan ditutup, esok.”

Fekir menegaskan, dia gembira kekal di Lyon tetapi sedia menilai perpindahan akhir yang berpotensi selepas menolak untuk berhijrah.

“Seperti yang anda lihat, saya di Lyon. Saya sangat gembira di sini,” kata Fekir.

“Tapi jendela perpindahan masih jauh dan dalam bola sepak, apa saja boleh berlaku dengan pantas. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa akan datang, tapi saya sangat gembira di Lyon.” - Agensi

Berita Harian X