Sabtu, 11 Ogos 2018 | 12:27pm

Tunku Syed Razman terajui PBNS?

SEREMBAN: Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri disebut-sebut bakal mengambil alih tampuk kepemimpinan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) pada pemilihan persatuan itu, bulan depan.

 Beliau dikatakan bakal mendapat sokongan padu daripada ahli gabungan persatuan itu selepas menunjukkan minat mendalam untuk menjawat jawatan Presiden PBNS, yang kini kosong susulan peletakkan jawatan itu oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada hujung Mei lalu.

 Malah, minat Tunku Syed Razman terhadapnya terserlah apabila beliau turut hadir dalam beberapa siri perlawanan bola sepak membabitkan skuad Hobin Jang Hobin dalam Liga Super sebelum ini, terutama yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

 "Difahamkan ada usaha daripada ahli gabungan PBNS untuk mencalonkan Tunku Besar Tampin bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memimpin PBNS.

 "Beliau dijangka akan mendapat sokongan daripada ahli gabungan PBNS. Namun saya tidak boleh mengulas lanjut dan kita kena tunggu keputusannya pada kongres PBNS, bulan depan," kata sumber pengurusan PBNS, hari ini.

 Mohamad yang menjadi Presiden PBNS sejak 2004 meletakkan jawatan pada 29 Mei lalu susulan perubahan kepemimpinan peringkat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH).

 Selain Mohamad, turut meletakkan jawatan dalam badan induk bola sepak Negeri Sembilan itu ialah dua Naib Presidennya iaitu Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin dan Datuk Abd Ghani Hasan.

 Sebelum ini, Menteri Besar, Aminuddin Harun dalam satu kenyataan menyatakan bahawa PBNS mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mencari pengganti sesuai bagi mengisi jawatan Presiden dan dua Naib Presidennya yang kosong sejak awal Jun lalu.

 "Saya serahkan kepada PBNS untuk tentukan siapa yang akan memimpin atau mentadbir persatuan itu kelak (Presiden)," kata Aminuddin.

 Sementara itu, Kelab e-Penyokong Bolasepak Negeri Sembilan (N9futbol.com) berharap ahli gabungan PBNS dapat membuat keputusan bijak dalam memilih kepemimpinan baharu badan berkenaan.

 Presiden N9futbol.com, Ahmad Zaini Baharun berkata, ini kerana kepemimpinan baharu PBNS amat penting dalam usaha mengembalikan semula reputasi skuad Rusa di persada bola sepak tempatan.

 "Semua sedia maklum, Negeri Sembilan gagal dalam saingan Liga Super musim ini apabila menamatkan saingan di tempat tercorot sekali gus kembali tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

 "Menjadi tugas kepemimpinan PBNS yang baharu nanti untuk fokus kepada usaha membentuk skuad yang lebih mantap bagi menghadapi musim depan supaya  dapat kembali meletakkan nama pasukan dalam kalangan dihormati dan disegani sepertimana yang pernah Negeri Sembilan capai sebelum ini," katanya hari ini.

 

Berita Harian X