Selasa, 14 Ogos 2018 | 11:32am
Willian. - Foto AFP
Willian. - Foto AFP

Willian gembira cara Sarri

LONDON: Pemain sayap Chelsea Willian berkata, tiada peluang untuknya kekal seandainya bekas pengurus Antonio Conte masih membimbing kelab itu.

Conte yang membantu Chelsea memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2016-2017, dipecat Julai lalu selepas kelab itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelima.

Penggantinya, Maurizio Sarri berjaya membantu Chelsea mencatat kemenangan 3-0 ke atas Huddersfield yang juga perlawanan pertama di bawah bimbingannya.

“Pengurus beritahu kami untuk menikmati perlawanan ketika turun beraksi.

“Adakah seronok beraksi dengan cara ini? Saya bersetuju dengan pendapatnnya. Kami mempunyai ramai pemain berbakat seperti Eden Hazard dan Pedro.

“Mereka ini adalah pemain yang benar-benar mahu beraksi.

“Sebab itu Sarri bercakap mengenai keseronokan bermain bola. Inilah yang kami cuba terapkan masa musim ini,” katanya.

 Pemain dari Brazil itu dikaitkan dengan Barcelona, Real Madrid dan Manchester United pada musim perpindahan tetapi dia tetap kekal bersama Blues.

Ditanya adakah dia akan kekal sekiranya Conte tidak dipecat, Willian berkata: “Tidak ada peluang. Saya di sini kerana mahu beraksi bersama Chelsea. Saya hanya akan tinggalkan kelab ini sekiranya mereka tidak mahu saya lagi.”

Chelsea akan melayan kunjungan Arsenal pada perlawanan seterusnya, Sabtu ini dan Willian menambah: “Sekarang kami mempunyai corak permainan berbeza. Sebab itulah kami bakal memberi masalah kepada Arsenal.

“Sudah tentu pertemuan dengan Arsenal sangat istimewa. Kami perlu melakukan persediaan rapi sepanjang minggu ini.” – Agensi

Berita Harian X