Sabtu, 18 Ogos 2018 | 10:48pm
PEMAIN Sabah, Ricco Nigel Milus (tengah) meraikan gol kemenangan ketika menentang Selangor pada saingan Piala Malaysia 2018 di Stadium Likas, sebentar tadi. - Foto KHAIRULL AZRY BIDIN.

Sabah gah, Selangor makin parah

 

KOTA KINABALU: Jaringan dua pemain gantian, Rahman Shah Marajeh dan Ricco Nigel Milus memastikan kebangkitan Sabah untuk kemenangan 2-1 ke atas Selangor dalam aksi kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Likas, sebentar tadi. 

Selangor bermula baik apabila mencipta peluang awal menerusi penyerang import mereka, Rufino Segovia Del Burgo pada minit keempat dan kelima, tetapi gagal menemui sasaran.

Beraksi di hadapan lebih 5,000 penyokong, Sabah mencemaskan pintu gol Selangor pada minit ke-15 menerusi tandukan Rodoljub Paunovic yang tersasar walaupun gawang tidak dikawal.

Dua minit kemudian, giliran Hector Omar Ramos pula mencipta peluang menerusi sepakan sudut, bagaimanapun tandukannya tidak menepati sasaran dan babak pertama berakhir tanpa jaringan.

Bermula babak kedua, pasukan pelawat memiliki peluang pada minit ke-52 namun cubaan Sean Eugene Selvaraj dari luar kotak penalti melepasi palang gol. 

Pada minit ke-53, pertahanan import Selangor Willian Silva Costa Pacheco hampir meletakkan pasukannya di depan, bagaimanapun tandukannya berjaya diselamatkan Alto Linus di atas garisan gol. 

Selangor kemudian terus garang memburu gol dan kali ini rembatan Amri Yahyah pada minit ke-60 pula terkena palang walaupun penjaga gol Sabah, Rozamie Rohim sudah tertewas. 

Pada minit ke-79, rembatan kencang Sean akhirnya berjaya menewaskan Rozaimie selepas mendapat lorongan Muhammad Faizzudin Mohd Abidin.

Pemain gantian, Rahman Shah yang tidak sampai seminit dimasukkan, menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-82.

Seorang lagi pemain gantian, Milus mengesahkan kemenangan Sabah apabila melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti dalam masa kecederaan.

Berita Harian X