Sabtu, 25 Ogos 2018 | 2:53pm
MASKOT Watford, Harry the Hornet. - Foto Reuters
MASKOT Watford, Harry the Hornet. - Foto Reuters

Amaran Hodgson kepada Harry the Hornet

LONDON: Pengendali Crystal Palace Roy Hodgson memberi amaran kepada maskot Watford, Harry the Hornet supaya tidak melakukan provokasi ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris di Vicarage Road dan mengungkit kembali dakwaan Wilfried Zaha berpura-pura dikasari dua tahun lalu.

Harry the Hornet merebahkan badan di hadapan Zaha selepas pemain sayap Palace itu dilayangkan kad kuning kerana simulasi ketika keputusan seri 1-1 di Watford pada saingan Boxing Day 2016.

Pemain Ivory Coast itu mendakwa terdapat agenda terhadapnya selepas dilayangkan kad kuning kerana simulasi di lapangan sama April tahun ini.

“Zaha tidak membuat simulasi,” kata Hodgson menjelang kunjungan ke Watford esok.

“Jika anda bertanya kepada saya sama ada Harry the Hornet, yang pada pendapat saya adalah maskot, melakukannya begitu, saya rasa ia memalukan kerana itu bukan perlawanan bola sepak.

“Tentunya ia mencetus provokasi dalam kalangan penonton dan ia patut dihentikan.”

Selepas dimasukkan ketika Palace tewas 2-0 kepada Liverpool, pemain tengah Jerman, Max Meyer kini berpeluang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Liga Perdana Inggeris buat kali pertama esok.

Hodgson begitu teruja dengan potensi yang dimiliki pemain tengah berusia 22 itu dengan berkata, kelab sudah menemui seseorang yang mempunyai ciri-ciri seperti pemain Chelsea N'Golo Kante, Naby Keita (Liverpool) dan Lucas Torreira (Arsenal).

“Dia (Meyer) mirip ramai pemain dan mampu untuk pergi lebih jauh dalam bola sepak,” katanya. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X