Ahad, 26 Ogos 2018 | 1:16pm
PEMAIN Terengganu, Lee Tuch (tiga dari kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang FELCRA FC pada aksi pusingan kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi. - Foto BERNAMA

Tuck puas

KUALA TERENGGANU: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengaku puas selepas berjaya membantu pasukannya menumbangkan naib juara Liga Perdana, FELCRA FC dalam aksi pusingan kedua Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi.

Malah, keupayaan pemain import kelahiran England itu mencipta hatrik untuk mencatat kemenangan 4-1 membuktikan pemain berkenaan bukan hanya bijak merencana bahagian tengah tetapi turut memiliki sentuhan penyudah tajam.

“Ini detik paling indah dan malam teristimewa saya bersama TFC kerana bukan hanya berjaya membantu pasukan mencatat kemenangan tetapi ia hatrik pertama saya musim dan ia menyemarakkan lagi semangat saya.

“Namun, apa yang lebih penting kemenangan malam ini berjaya membawa pasukan mara lebih awal ke peringkat suku akhir walaupun masih berbaki dua perlawanan bertemu Perak dan Kuala Lumpur di tempat sendiri,” ujar Tuck.

Pemain berusia 30 tahun yang memulakan kariernya bersama kelab Halifax Town di England pada 2007 itu meledak tiga gol pada minit ke-20, 61 dan 79 manakala satu jaringan lagi dihasilkan kapten, Kipre Tchetche pada minit ke-18.

Gol tunggal tuan rumah dihasilkan David Laly pada minit ketiga.

Tuck muncul pemain TFC kedua selepas Tchetche yang melakukan hatrik setakat ini.

Mengulas lanjut, Tuck yang tidak diturunkan ketika aksi pusingan pertama bertemu skuad The Rivals itu berharap kemenangan itu tidak membuatkan dia dan rakan sepasukan mendabik dada biarpun pasukannya kini sudah boleh `tidur’ lena selepas layak ke suku akhir.

“Ini langkah pertama, tetapi harapan kami adalah untuk beraksi di final dan seterusnya muncul juara dan berharap kami mampu beraksi lebih baik dalam perlawanan seterusnya,” kata Tuck.

Berita Harian X