Isnin, 27 Ogos 2018 | 12:47pm
KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos. - Foto Owee Ah Chun

Piala Cabaran: NS buru kemenangan sulung

SEREMBAN: Mario Lemos menuntut pemain Negeri Sembilan supaya kembali fokus kepada misi memburu kemenangan pertama apabila menerima kunjungan Sarawak dalam saingan Kumpulan A Piala Cabaran 2018, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Ketua jurulatih berasal dari Portugal itu menegaskan, pemain skuad Hobin Jang Hobin tidak boleh lagi mengulangi aksi ala 'yoyo` jika mahu memastikan hasrat mempertahankan reputasi selaku wakil dari Liga Super dan pasukan pilihan, tercapai.

“Kekalahan yang dialami dalam dua perlawanan lalu jelas mengecewakan ramai pihak terutama peminat. Malah ia boleh memberi laluan yang sukar untuk meraih kedudukan terbaik pada penghujung saingan.

“Justeru, pemain perlu segera kembali fokus untuk mempertahankan reputasi pasukan dalam baki perlawanan peringkat kumpulan ini bermula pertembungan dengan Sarawak di gelanggang sendiri, esok.

“Kita perlu mempertahankan kelebihan yang ada dengan memastikan kemenangan ke atas Sarawak bagi menghidupkan peluang untuk bersaing memburu kejuaraan,” katanya hari ini.

Negeri Sembilan memulakan saingan Piala Cabaran dengan tewas 0-1 kepada Terengganu FCII pada 7 Ogos lalu disusuli kekalahan 1-2 di tangan UKM FC pada 14 Ogos.

Mengulas lanjut mengenai persiapannya menentang Sarawak, pengendali berusia 34 tahun itu sudah sedia menurunkan barisan terbaik dan mahu anak buahnya bertindak lebih agresif.

Menurut Lemos, beliau akan menurunkan barisan terbaik termasuk penggempur utama, Flavio Junior, Nicolas Velez, Angel Guirado dan N Thanabalan.

“Saya lega apabila hampir semua pemain utama berada dalam keadaan baik dan cergas dan ini memberi ruang untuk kita menyusun strategi bagi mendapatkan kemenangan.

“Apapun pemain perlu berikan komitmen 100 peratus kepada perlawanan dan bijak memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menang.

“Saya berharap perancangan yang disusun bagi menghadapi perlawanan penting ini lebih berkesan,” katanya.

Berita Harian X