Ahad, 2 September 2018 | 1:01pm
Pemain skuad B-23 negara, Nik Akif Syahiran Nik Mat ketika sesi latihan di Wisma FAM sebagai persiapan menghadapi Sukan Asia di Jakarta dan Palembang. Gambar kecil, bekas pemain Kelantan, Anuar Rajib. - Foto Luqman Hakim Zubir

PBPBK tak halang hasrat Nik Akif

KUALA LUMPUR: Bekas pemain Kelantan, Anuar Rajib menggalakkan Nik Akif Syahiran Nik Mat agar meninggalkan pasukan itu jika mendapat tawaran daripada kelab lain demi masa depannya.

Anuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Kelantan (PBPBK) yakin pemain berusia 19 tahun itu mampu melonjakkan lagi prestasinya jika berani menyahut cabaran bermain dengan kelab lebih besar.

“Nik Akif masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah, kariernya akan berkembang dengan lebih cepat jika dia bermain dengan pasukan yang lebih hebat.

“Bukan niat saya memperkecilkan kemampuan negeri sendiri atau mahu menghasut pemain supaya meninggalkan pasukan ini namun hakikatnya suasana bola sepak Kelantan sekarang tidak banyak membantu perkembangan pemain muda seperti Nik Akif.

“Saya sendiri dulu meninggalkan Kelantan selepas beberapa tahun bersama mereka untuk membina karier di Terengganu,” katanya.

Malah, menurut Anuar, langkah meninggalkan Kelantan mampu menjamin kehidupan Nik Akif kerana sudah tentu tawaran gaji yang bakal diterima kelak lebih baik berbanding sekarang.

“Kita semua tahu Kelantan sedang berdepan masalah kewangan menyebabkan mereka tidak mampu membayar gaji yang tinggi.

“Jadi jika mendapatkan tawaran yang lebih baik, pemain seperti Nik Akif perlu menggunakan kesempatan itu demi masa depan kerana itu adalah periuk nasinya.

“Tidak timbul isu pemain tidak setia atau mata duitan kerana dalam bola sepak profesional, wang adalah sebahagian daripada elemen penting. 

“Nik Akif perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ke atas Piya (Badhri Radzi). Oleh kerana terlalu sayangkan pasukan Kelantan, Piya sanggup menolak gaji RM100,000 sebulan yang ditawarkan pasukan lain, tapi akhirnya apa yang berlaku sekarang?” soal Anuar.

Semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan menyatakan kesediaan melepaskan Nik Akif dengan syarat pemain itu menebus kontraknya yang masih berbaki sehingga penghujung 2020.

Kenyataan itu dibuat ekoran laporan yang menyatakan Nik Akif kini sedang dirisik oleh beberapa kelab termasuk sebuah kelab dari Thailand.

Berita Harian X