Ahad, 2 September 2018 | 8:02pm
DIDIER Deschamps. - Foto REUTERS

Mbappe perlu lebih tenang - Deschamps

PARIS: Bintang Perancis, Kylian Mbapppe menjadi sasaran terjahan keras pertahanan lawan dan perlu belajar mengawal diri, kata ketua jurulatih kebangsaan, Didier Deschamps.

Kenyataan Deschamps itu dibuat selepas penyerang sensasi itu diarahkan keluar padang ketika perlawanan Ligue 1 di antara Paris Saint-Germain (PSG) bertemu Nimes, semalam.

Mbappe, yang menjadi sensasi dunia membantu Perancis menjulang Piala Dunia 2018 meledak gol penting kemenangan 4-2 PSG dalam aksi berkenaan namun diarah keluar padang ketika masa kecederaan susulan tindakannya selepas dikasari.

“Dia perlu belajar untuk mengawal dirinya. Kylian adalah pemenang Piala Dunia,” kata Deschamps yang kembali melatih penyerang itu menjelang perlawanan membabitkan Perancis bertemu Belanda di Liga Negara-Negara, Ahad depan.

“Saya akan bercakap dengannya, dia nampaknya seperti bimbang mengalami kecederaan.”

Deschamps yang juga bekas pemain Perancis turut tidak bersetuju dengan kenyataan Mbappe yang menggambarkan terjahan ke atasnya tidak mempunyai tempat dalam bola sepak.

“Saya bukannya mahu menyokong Nimes, mereka menggunakan corak permainan fizikal dan Kylian perlu menghadapinya. Ia bukannya begitu teruk,” katanya.

Mbappe berisiko mengharungi penggantungan panjang berikutan kad merah yang diperolehnya tetapi pemain berusia 19 tahun itu mengakui tidak menyesal.

“Jika saya perlu melakukannya sekali lagi, saya akan meminta maaf kepada semua penyokong dan semua orang,” kata Mbappe yang sebelum ini menyifatkan terjahan oleh Teji Savanier itu sebagai “tidak layak berada di padang bola sepak.”

Kelab kerdil, Nimes yang juga bekas pasukan legenda Eric Cantona dan Laurent Blanc kembali ke liga elit Perancis musim ini selepas 25 tahun dan mereka berjaya mengejutkan Marseille pada perlawanan terdahulu. - AFP

Berita Harian X