Khamis, 6 September 2018 | 7:48am
KYLIAN Mbappe. - Foto Reuters

Bintang PSG, Mbappe digantung tiga aksi

PARIS: Pemain remaja sensasi PSG, Kylian Mbappe digantung tiga perlawanan selepas mengutip kad merah ketika menentang Nimes, minggu lalu - umum Liga Perancis, pagi tadi.

Tonggak berusia 19 tahun ini yang meledak gol ketika meraih kemenangan 4-2, dibuang padang selepas menolak Teji Savanier apabila pemain Nimes itu menjatuhkannya.

Kelab juara Perancis itu akan beraksi tanpa Mbappe untuk saingan Ligue 1 menentang Saint-Etienne pada 14 September, Renner (23 September) dan Reims, tiga hari selepas itu.

Bagaimanapun, hukuman itu tidak menjejaskan Mbappe untuk beraksi dalam saingan pembukaan Liga Juara-Juara menentang naib juara musim lalu, Liverpool dalam pertembungan di Anfield, pada 18 September ini.

Savanier, yang turut dibuang padang oleh pengadil, Jerome Brisard selepas insiden itu - dihukum gantung lima perlawanan.

KYLIAN Mbappe digantung tiga perlawanan selepas mengutip kad merah ketika menentang Nimes. - Foto AFP

Pada pertembungan itu, Mbappe sudah menerima kad kuning pada aksi babak pertama. Kad merah itu adalah yang kedua dalam karier Mbappe selepas dibuang padang pada Januari lalu kerana mengasari pemain Rennes, Ismaila Sarr pada pertembungan separuh akhir Piala Liga Perancis.

Ketika ini, dia tidak menghadiri sesi pendengaran disiplin kes berkenaan kerana menyertai skuad kebangsaan Perancis sebagai persiapan menghadapi Liga Negara-Negara menentang Jerman di Munich,

Mbappe dinamakan sebagai pemain muda terbaik kejohanan selepas meledak empat gol untuk Perancis menjulang Piala Dunia buat kali kedua pada Julai lalu.

Dia muncul pemain remaja kedua selepas legenda Brazil, Pele yang meledak jaringan pada aksi final Piala Dunia.

Untuk PSG, dia sudah meledak empat kali dalam tiga penampilan pada musim ini. - AFP

Berita Harian X