Isnin, 10 September 2018 | 8:26pm
TUNKU Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri - Foto Hazreen Mohamad

Tunku Syed Razman presiden baharu PBNS

SEREMBAN: Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) yang baharu bagi tempoh 2018-2021 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres PBNS Ke-86, di Klana Resort di sini, hari ini.

Beliau mendapat sokongan padu ahli gabungan persatuan selepas menunjukkan minat mendalam untuk menjawat jawatan Presiden PBNS selepas peletakan jawatan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, pada hujung Mei lalu.

Turut menang tanpa bertanding ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik yang memegang jawatan Timbalan Presiden PBNS.

Sementara itu, jawatan Naib Presiden PBNS menyaksikan saingan sengit apabila tujuh individu mengemukakan pencalonan namun tiga terpilih iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani, pengurus skuad utama Negeri Sembilan, Datuk Mohamed Najeeb Abdullah dan Saaran Nadarajah.

Dalam pada itu, lapan individu memenangi Jawatankuasa Eksekutif PBNS daripada 19 calon bertanding iaitu Azmi Selamat, Lai Seng Ngeap, Bachik Osman, VK Dana, Mohamad Zaki Mahussin, Mohamad Hanipah Abu Bakar, Mohd Khairollah Abd Latif dan S Kalidasan.

Dalam ucapan sulungnya, Tunku Syed Razman yang menjadi presiden kelima PBNS mengucapkan terima kasih kepada ahli gabungan PBNS yang memberinya mandat untuk menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

Beliau bertekad untuk menguruskan persatuan itu sebaik mungkin terutama dalam membangun dan memajukan lagi sukan bola sepak negeri berkenaan khususnya dalam saingan Liga Malaysia musim 2019.

"Saya bersama barisan kepemimpinan baharu PBNS akan berusaha sebaik mungkin untuk menguruskan persatuan ini ke arah memartabatkan lagi sukan bola sepak negeri.

"Fokus kami adalah untuk kembali meletakkan skuad Negeri Sembilan di landasan yang terbaik dan di hormati dalam persada bola sepak negara.

"Namun begitu, PBNS memerlukan sokongan padu pelbagai pihak dan saya yakin melalui kerjasama serta sokongan kerajaan negeri dan penaja, kita akan dapat mencapai apa juga yang disasarkan," katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada Mohamad kerana usaha dan kepemimpinannya menjulang bola sepak negeri itu.

Sementara itu, Menteri Besar Aminuddin Harun ketika merasmikan majlis penutupan kongres berkenaan berharap kepemimpinan baharu PBNS dapat memilih barisan kejurulatihan lebih baik untuk memastikan reputasi skuad utama dapat dikembalikan.

Berita Harian X