Sabtu, 22 September 2018 | 1:44pm
MARIO Lemos

Lemos serah nasib kepada PBNS

Oleh Mohd Amin Jalil

[email protected]

SEREMBAN: Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mario Lemos sedia menerima sebarang keputusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), sama ada mahu melepaskannya atau tidak bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Pengendali berasal dari Portugal berusia 34 tahun itu berkata, sebagai jurulatih profesional, beliau akan akur dengan sebarang keputusan majikannya termasuk kemungkinan disingkirkan daripada mengendalikan skuad berkenaan.

"Pada masa ini PBNS dikendalikan pengurusan baharu, namun setakat ini antara kami masih belum ada perbincangan mengenainya (kedudukan musim depan). Saya yakin ia akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Apa pun, saya akan akur dengan sebarang keputusan yang akan dibuat PBNS.

Kata putus di tangan mereka, namun saya sudah menyatakan masih berminat untuk kekal dan mahu membina pasukan baharu untuk musim depan," katanya kepada NSTP, hari ini.

Lemos memulakan tugas selaku pengendali skuad Hobin Jang Hobin bermula 10 Mei lalu bagi menggantikan pengendali sebelum ini yang juga bekas jurulatih kebangsaan, Mohd Azraai Khor Abdullah.

Bagaimanapun, sasaran ditetapkan PBNS itu tidak tercapai apabila Negeri Sembilan menamatkan saingan di tangga tercorot Liga Super dan kembali tersingkir ke saingan Liga Perdana musim depan.

Malah, reputasi skuad itu terus tercalar apabila gagal mara ke peringkat separuh akhir Piala Cabaran 2018.

PBNS kini diterajui barisan kepemimpinan baharu diterajui Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, selepas menang tanpa bertanding jawatan Presiden PBNS pada Kongres PBNS ke-86, 10 September lalu.

Mengulas mengenai perancangannya jika dikekalkan bagi musim depan, Lemos yang dibantu Mohd Asri Ninggal berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai beberapa pemain berpotensi untuk diserapkan ke dalam pasukan.

Beliau mahu membentuk pasukan yang lebih mantap bermula di peringkat awal pembentukan pasukan, berbanding tugasnya musim ini di peringkat pertengahan liga.

Berita Harian X