Jumaat, 28 September 2018 | 12:50pm
CAVANI dan Neymar. - Foto REUTERS

Cavani, Neymar kunci kejayaan PSG

PARIS: Jurulatih Paris Saint-Germain Thomas Tuchel berkata dia tidak melakukan apa-apa yang istimewa untuk memperbaiki hubungan antara pemain bintang mereka Neymar dan Edinson Cavani, selepas kedua-duanya memainkan peranan penting dalam membantu juara Perancis itu menikmati aksi terbaik sejak permulaan musim.

Cavani meledak dua gol dan meraih penalti yang kemudiannya disempurnakan oleh Neymar sekali gus menyaksikan PSG bangkit daripada ketinggalan untuk melakarkan kemenangan 4-1 ke atas Reims, kemenangan ketujuh daripada tujuh perlawanan musim ini.

Musim pertama Neymar di Paris selepas melakarkan rekod perpindahan dari Barcelona tidak begitu menyerlah selepas dibelenggu kecederaan kaki. 

Namun sebelum itu timbul kebimbangan berhubung ketegangan membabitkan hubungan bintang Brazil berkenaan dengan Cavani, mengenai siapakah yang berhak mengambil tugas menyempurnakan sepakan penalti.

Bagaimanapun tiada masalah timbul pada Rabu lalu, apabila gandingan itu membantu PSG melakarkan kemenangan biarpun tanpa kehadiran Kylian Mbappe yang digantung perlawanan.

“Saya tidak melakukan sesuatu yang istimewa. Penting buat mereka berhubung satu sama lain,” kata Tuchel yang menyaksikan pasukannya kini mendahului lapan mata dalam saingan Ligue 1.

“Mereka bermain dalam pasukan yang sama bukan? Saya tidak melakukan apa-apa. Mereka sudah dewasa dan semua adalah demi kebaikan mereka.

“Saya juga berasa sama seperti Kylian Mbappe dan Angel (Di Maria) mereka adalah kuartet yang mahu pasukan ini memenangi trofi bersama.”

PSG akan berkunjung ke Nice esok untuk mengejar kemenangan kelapan dari lapan perlawanan liga.

Jika mereka berjaya melakukannya, mereka akan menyamai rekod permulaan terbaik yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana kelab Perancis selepas Olympique Lillois pada tahun 1936.

Berita baik buat Tuchel ialah Mbappe akan kembali selepas hukuman penggantungan tiga perlawanan tamat dan penyerang Perancis itu sudah pasti akan diturunkan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara bertemu Red Star Belgrade, Rabu ini. - AFP

 

Berita Harian X