Sabtu, 29 September 2018 | 1:10am
PEMAIN TFC meraikan kemenangan ke atas Felda United FC dalam aksi suku akhir kedua saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Imran Makhzan.

TFC sah tiket separuh akhir

KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menumpaskan juara Liga Perdana musim ini, FELDA United 4-3 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sebentar tadi.

Bagaimanapun skuad dengan jolokan Penyu itu terpaksa 'bermandi peluh' sebelum  mara dengan agregat 6-4 dalam aksi yang mendebarkan.

FELDA yang diberi gelaran The Fighters yang tewas 1-2 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Tun Abdul Razak melancarkan ancaman awal ke kubu TFC menerusi rembatan Gilberto Fortunato seawal minit kelima tetapi dapat ditepis penjaga gol, Mohd Suffian Abdul Rahman.

Enam minit berselang, skuad kendalian B Satianathan berjaya mendahului perlawanan apabila pemain importnya, Thiago Junio mudah menanduk masuk hasil sepakan sudut Muhammad Danial Amier Norhisham.

Pada minit ke-23 skuad pelawat hampir menambah jaringan menerusi tolakan mengelirukan Iain Ramsay, namun sedikit sipi di sebelah kanan pintu gol sekali gus terselamat kubu tuan rumah.

Aksi yang diperagakan anak buah Irfan Bakti Abu Salim bagaikan tidak bermaya dan longlai sebaliknya skuad pelawat terus mengasak apabila sekali lagi mencemaskan benteng tuan rumah melalui rembatan Ramsay dari luar kotak yang berjaya ditepis penjaga gol pada minit ke-28.

Berbekalkan lebih 10,000 peminat setia, peluang pertama skuad Penyu hadir pada minit ke-34 menerusi J Partiban hasil hantaran Mohd Ashari Samsuddin, tapi pemain kelahiran Perak itu gagal menterjemahkan peluang itu dengan gol.

Bersambung babak kedua tuan rumah melakukan perubahan taktikal, namun masih buntu memecah kebuntuan gol sebaliknya pelawat berjaya menambah jaringan kedua melalui rembatan Ahmad Syamin Yahya pada minit ke-48.

Gol yang dicari TFC akhirnya hadir pada minit ke-56 melalui rembatan cantik Lee Tuck dari luar kotak penalti untuk merapatkan kedudukan 1-2.

Selepas jaringan itu, skuad TFC kian bernafsu apabila meledak jaringan penyamaan pada minit ke-68 hasil lambungan cantik pemain pertahanan, Adib Aizuddin Abd Latif.

Skuad The Fighters tidak berputus asa apabila berjaya meledak jaringan ketiga menerusi  Fortunato pada minit ke-78 melalui sepakan gunting.

Skuad TFC bagaikan 'dirasuk' apabila berjaya menyamakan kedudukan 3-3 menerusi tolakan pemain gantian Abdul Malik Mat Ariff pada minit ke-82.

Kapten, Kipre Tchetche menambah derita pelawat apabila meledak jaringan keempat pada minit ke-85 sekali gus melengkapkan malam gemilang skuad Penyu itu dengan kemenangan yang dramatik 4-3.

 

 

Berita Harian X