Sabtu, 29 September 2018 | 1:00pm
NEIL Warnock. - Foto AFP

Warnock mahu Bluebirds bangkit

CARDIFF, Wales: Pengurus Neil Warnock menggesa Cardiff City melakukan kebangkitan selepas permulaan buruk dalam Liga Perdana Inggeris apabila mereka masih belum mencatat kemenangan.

Cardiff berdepan kunjungan Burnley malam esok berkongsi tangga tercorot dengan hanya dua mata daripada enam perlawanan susulan dua kekalahan besar 1-4 kepada Chelsea dan 0-5 di tangan Manchester City.

Bluebirds tidak kalah dalam 13 perlawanan menentang Clarets bagi semua pertandingan namun mereka tidak menang dalam semua tujuh perlawanan setakat ini, musim ini.

“Senarai jadual tidak begitu memihak kami, bagi 10 perlawanan pertama kami berdepan tujuh daripada 10 pasukan terbaik tahun lalu,” kata Warnock.

“Ia agak kejam buat kami, tapi kami perlu terus berjuang.

“Selain beraksi menentang enam pasukan terbaik, apa saja boleh dimenangi dalam liga ini dan Burnley termasuk dalam kategori itu.”

Burnley memburu kemenangan berturut-turut liga buat kali pertama sejak April lalu apabila mereka menuju ke Wales selain kejayaan pertama di gelanggang lawan menentang pasukan pendatang baru.

Clarets kalah aksi Piala Liga Inggeris pada pertengahan minggu ini di tangan pasukan Liga Satu, Burton Albion dan pengendali Sean Dyche sedar kunjungan ke Cardiff peluang terbaik memperbaiki rekod buruk di laman lawan. - Agensi

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X