Sabtu, 6 Oktober 2018 | 9:09am
CESC Fabregas. - Foto Reuters

Fabregas gembira bersama Sarri

LONDON: Cesc Fabregas berkata, dia berminat untuk terus kekal bersama Chelsea selepas berakhir musim ini selain menyatakan pengurus, Maurizio Sarri sepatutnya lebih awal hadir ke Stamford Bridge.

Bintang Sepanyol itu dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan ketika Chelsea mencatat kemenangan 1-0 ke atas juara Hungary, Vidi di saingan peringkat kumpulan Liga Europa sekali gus menyaksikan penampilan ketiganya musim ini.

“Inilah yang saya mahukan. Saya berasa lebih baik di bawah bimbingan Sarri.

“Secara jujur saya memperoleh kembali sentuhan dan dapat membina kerjasama dengan baik bersama Jorginho di bahagian tengah. 

“Saya mungkin akan mengikuti cara Sarri pada masa depan jika menjadi jurulatih. Banyak yang saya pelajari daripadanya.

“Segala yang dilakukannya amat menarik dan saya bersedia untuk bekerjasama dengannya lagi pada masa depan.

“Secara jujur sepatutnya beliau hadir lebih awal,” katanya.

Chelsea masih belum berbincang dengan Fabregas untuk melanjutkan kontraknya yang berakhir pada musim panas nanti. Masa depannya di Stamford Bridge nampak lebih cerah bersama Jorginho di bahagian tengah selepas sering menjadi pilihan Sarri.

Bagaimanapun di sebalik berasa kecewa kerana kurang peluang untuk beraksi, Fabregas berkata, dia gembira berada di bawah bimbingan Sarri dan mahu kekal di Chelsea. – AGENSI

Berita Harian X