Ahad, 7 Oktober 2018 | 1:01am
PENGADIL Jonathan Moss (dua dari kanan) melayangkan kad merah kepada pemain Watford, Christian Kabasele (dua dari kiri) dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Watford, London. - Foto AFP
PENGADIL Jonathan Moss (dua dari kanan) melayangkan kad merah kepada pemain Watford, Christian Kabasele (dua dari kiri) dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Watford, London. - Foto AFP

Bournemouth 'ajar' Watford, Everton ceria

LONDON: Deretan kad merah dilayangkan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi tetapi tiada yang lebih mengecewakan berbanding di Vicarage Road apabila Watford yang beraksi 10 pemain dimalukan Bournemouth 4-0.

David Brooks meletakkan Bournemouth di depan selepas 15 minit sebelum pemain Watford, Christian Kabasele menerima kad kuning kedua 17 minit kemudian apabila menjatuhkan Joshua King dalam kawasan penalti.

King tenang menyempurnakan sepakan penalti itu sebelum menambah satu lagi gol sebelum rehat.

Callum Wilson melengkapkan gol keempat pelawat, empat minit selepas babak kedua bersambung sekali gus meneruskan perjalanan baik skuad kendalian Eddie Howe pada permulaan musim ini untuk mendaki ke tangga kelima liga.

Watford yang ketika ini gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut di kedudukan kelapan.

Selain Watford, Leicester City juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain dan tewas 1-2 kepada Everton di gelanggang sendiri, Stadium King Power.

PEMAIN Leicester City, Ben Chilwell (biru) berebut bola dengan pemain Everton, Jonjoe Kenny dalam aksi di Stadium King Power. - Foto Reuters
PEMAIN Leicester City, Ben Chilwell (biru) berebut bola dengan pemain Everton, Jonjoe Kenny dalam aksi di Stadium King Power. - Foto Reuters

Everton mendahului seawal minit ketujuh menerusi Richarlison tetapi ia kembali disamakan oleh Leicester lima minit sebelum rehat menerusi Ricardo Pereira.

Begitupun selepas Wes Morgan dibuang padang pada minit ke-63, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya pelawat apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 menerusi pemain Iceland, Gylfi Sigurdsson.

Kejayaan itu turut memberikan Everton kemenangan pertama musim ini di gelanggang lawan.

Turut terpaksa beraksi kurang seorang pemain adalah Cardiff City yang tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur.

Sementara itu, Huddersfield Town meledak gol keempat pasukan itu musim ini selepas seri 1-1 di Burnley manakala Wolverhampton Wanderers meraih kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace.

Gol Wolves dijaringkan Matt Doherty dengan kelab itu mencipta rekod menjadi pasukan yang tidak menukarkan kesebelasan utama dalam lapan perlawanan berturut-turut. - Reuters

Berita Harian X