Ahad, 14 Oktober 2018 | 3:14pm
PEMAIN Kelantan, Bakhtiyar Duishobekov. - Foto Syamsi Suhaimi

Duishobekov tinggalkan Kelantan

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan pemain import dari Kyrgyzstan, Bakhtiyar Duishobekov meninggalkan pasukan negeri itu selepas kontraknya berakhir bulan ini.

Perkara itu dimaklumkan Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan, selepas Duishobekov, 22, tidak berminat lagi meneruskan karier di Kelantan selepas pasukan itu merudum ke Liga Perdana musim depan.

“Faktor kejatuhan Kelantan ke Liga Perdana dan kedudukan tercorot dalam Liga Super menyebabkan ada pemain berminat untuk berpindah ke pasukan lain walaupun ditawar kontrak baharu.

“Kami sudah mengadakan rundingan dengan Bakhtiyar mengenai kontraknya bersama pasukan namun menemui jalan buntu selepas dia menyatakan hasrat berpindah ke pasukan lain.

“Bakhtiyar mohon dilepaskan kerana mendapat tawaran kelab luar negara dan tidak menyatakan hasrat mewakili mana-mana pasukan atau kelab di negara ini.

“KAFA mendoakan dia berjaya dengan pasukan baharu dan terima kasih kerana membantu menambah kekuatan jentera tengah dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim ini,” kata Bibi ketika dihubungi, hari ini.

Duishobekov, yang juga pemain skuad kebangsaan Kyrgyzstan, mengikat kontrak selama enam bulan bagi menggantikan Margaro Gomis yang mengalami kecederaan.

172 dibaca
Berita Harian X