Jumaat, 19 Oktober 2018 | 9:17am
KAPTEN Inter Milan, Mauro Icardi. - Foto AFP

Icardi masih sayangkan jersi Inter

MILAN: Kapten Inter Milan, Mauro Icardi menegaskan, jodohnya bersama kelab Serie A itu mungkin sudah ditakdirkan untuk kekal lama apabila kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi membincangkan kontrak baharu.

“Saya memang gembira untuk kekal di sini, saya mengambil berat pasukan ini,” kata penyerang Argentina ini ketika temuramah Sky Sports Italia.

“Sepatutnya saya sudah keluar dari sini, sudah ada tawaran lain (dengan kelab lain), tetapi saya buat keputusan untuk kekal, untuk diri sendiri dan keluarga saya.

“Saya membayangkan saya beraksi di Liga Juara-Juara untuk Inter,” katanya.

Icardi – menyertai Inter dari kelab yang dianggap seteru utama dalam Serie A, Sampdoria pada 2013 melalui pelepasan klausa kontrak bernilai 110 juta euro (RM525 juta).

Pemain berusia 25 tahun ini menjaringkan 112 gol untuk kelab, dan menyertai senarai penjaring terbanyak bersama Serie A musim lalu dengan 29 gol.

“Sambungan kontrak?. Saya tidak tahu jika ia berlaku sebelum Krismas, kami akan mencari penyelesaiannya,” 

Icardi akan berdepan rakan senegara, Gonzalo Higuain dalam pertembungan setempat menentang AC Milan di San Siro pada Ahad ini.

“Saya tidak melihatnya sebagai seteru. Dia memiliki karier yang hebat dan seorang penyerang yang bagus. Dia adalah permata Milan. Ya, kami akan bertembung sesama sendiri, tetapi saya tetap tenang dan cuba mempamerkan aksi terbaik saya.

“Ini adalah pertembungan setempat yang dinantikan. Kemenangan akan merapatkan jarang dengan Juventus dan Napoli. Saya mahu memenangi sesuatu bersama Inter, jika berjaya melakukannya, sudah pasti kami akan meraih ganjarannya.

Ketika ini, skuad bimbingan Luciano Spalletti itu berada di tangga ketiga liga, ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Juventus.

Selepas ini, mereka akan menentang Barceona dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu depan. Kedua-dua pasukan berkongsi enam mata dalam Kumpulan B yang turut menempatkan pasukan Tottenham serta PSV Eindhoven. – AFP

Berita Harian X