Ahad, 21 Oktober 2018 | 7:47am
EDINSON Cavani diasak dua pemain Amiens ketika aksi Paris Saint-Germain menentang Amiens. - Foto AFP

PSG raih kemenangan ke-10 berturut-turut

PARIS: Paris Saint-Germain (PSG) meneruskan rentak cemerlang dalam misi mempertahankan gelaran Ligue , dengan merekodkan 10 kemenangan berturut-turut dengan Kylian Mbappe menjaringkan gol ketika kelab membenam Amiens, 5-0.

Jurulatih, Thomas Tuchel tidak menurunkan tonggak utama - Neymar, Thiago Silva dan Thomas Meunier adalam pertembungan di Parc des Princes, sebagai persediaan menghadapi aksi Liga Juara-Juara menentang Napoli.

Namun, barisan pemain PSG yang diturunkan awal pagi tadi dilihat sudah memadai untuk menewaskan Amiens.

“Setiap orang memikirkan yang Ligue 1 mungkin terlalu mudah bagi mempersiapkan diri untuk Liga Juara-Juara, tetapi ia sebenarnya bukan seperti itu,” tegas Tuchel, yang mengambilalih kerusi berkenaan daripada Unai Emery sebelum ini.


KYLIAN Mbappe

“Ia bukan bermakna kamu perlu menyalahkan pasukan lain tetapi kami memberi fokus kepada diri sendiri. Tiada siapa yang meraih 10 kemenangan berturut-turut dan kami melakukannya.

“Tak mudah. Kami akan bersiap sedia (untuk perlawanan dengan Napoli), kerana kami sudah meletakkan had kami sendiri.”

Bek tengah Brazil, Marquinhos membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-12, sebelum Andrien Rabiot menambah keselesaan sebelum tamat babak pertama.

Pemain sayap Jerman, Julian Draxler menanduk masuk gol ketiga dan selepas itu, pemain muda 19 tahun, Mbappe turut menambah jaringan dengan meledak gol kesembilan peribadinya dalam enam perlawanan liga musim ini.

Pemain remaja PSG, Moussa Diaby menutup pesta jaringan pada minit ke-87, sekali gus menyaksikan kelab berkenaan kini mendahului senarai kedudukan keseluruhan dengan kelebihan lapan mata. - AFP

Berita Harian X