Isnin, 5 November 2018 | 7:46am
PEMAIN AC Milan, Alessio Romagnoli (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Udinese pada aksi Serie A di Udine. - Foto EPA
PEMAIN AC Milan, Alessio Romagnoli (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Udinese pada aksi Serie A di Udine. - Foto EPA

Romagnoli hampakan Udinese saat akhir

MILAN: Pemain AC Milan Alessio Romagnoli menjaringkan gol kemenangan dramatik pada masa kecederaan buat kali kedua dalam masa lima hari dengan menewaskan Udinese 1-0, awal pagi tadi.

Romagnoli yang beraksi di bahagian pertahanan menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Genoa, Rabu lalu meledak jaringan pada minit ke-97 hasil serangan balas pantas sekali gus memastikan kelabnya menduduki tempat keempat Serie A.

Milan menguasai bahagian tengah dan mempunyai kelebihan di bahagian serangan tetapi gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Suso yang menerima hantaran daripada Patrick Cutrone di dalam kawasan penalti bertukar hantaran dengan Romagnoli yang merembat kencang dengan kaki kirinya untuk gol kemenangan.

Romagnoli diraikan rakan sepasukan tetapi dilayangkan kad kuning selepas membuka bajunya tetapi keadaan menjadi sedikit kecoh apabila penjaga garisan mengangkat benderanya.

Jurulatih Milan, Gennaro Gattuso diperintah keluar padang kerana membantah tetapi gol akhirnya dibenarkan selepas VAR digunakan.

"Kami berhak menang perlawanan ini, kami datang bersama isu kecederaan dan tidak mudah ke sini dan bermain malam ini,” kata Gattuso. "Udinese adalah pasukan fizikal dan kami beraksi dengan cara kami. Saya sangat suka dengan aksi di separuh masa kedua.”

"Saya tinggalkan kawasan saya dan keputusan pengadil tehadap saya adalah betul,” katanya.

Mereka kini mempunyai 21 mata daripada 11 perlawanan, satu tangga mengatasi Lazio berdasarkan perbezaan jaringan. Juventus yang menewaskan Cagliari 3-1 kelmarin kekal pendahulu dengan 31 mata. - REUTERS

Berita Harian X