Ahad, 11 November 2018 | 3:42pm
PENGENDALI Laos, V Sundramoorthy. - Foto Asyraf Hamzah
PENGENDALI Laos, V Sundramoorthy. - Foto Asyraf Hamzah

Sundramoorthy tagih tuah Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Gelanggang aksi kedua Kumpulan A Piala AFF menentang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, sememangnya mempunyai banyak kenangan manis buat pengendali Laos, V Sundramoorthy.

Di Bukit Jalil, beliau menjulang Piala FA bersama skuad LionsXII pada 2015, yang menyaksikan anak buahnya berjaya mengejutkan pasukan pilihan, Kelantan dalam perlawanan akhir dengan keputusan 3-1.

Sundramoorthy yang berasal dari Singapura dan pernah membimbing Negeri Sembilan di Liga Super bakal sekali lagi menagih tuah Bukit Jalil untuk memburu kemenangan pertama dalam saingan Piala AFF, musim ini.

Mereka tewas 0-3 kepada Vietnam dalam aksi pembukaan peringkat kumpulan di Vientiane, di Laos, manakala Malaysia menumbangkan Kemboja 1-0, di laman lawan.

"Saya masih ingat memori itu sampai sekarang. Sudah tentu saya harap tuah stadium ini (Stadium Nasional Bukit Jalil) dapat membantu kami (Laos) meraih kemenangan.

“Namun semuanya terletak di tangan pemain apabila turun beraksi nanti," katanya ketika ditemui pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Malaysia, beliau menganggap pasukannya sebagai bukan pilihan berbanding skuad kendalian Tan Cheng Hoe yang akan meraih sokongan padu penyokong sendiri.

“Setakat ini kami berada pada tahap terbaik walaupun tewas kepada Vietnam. Bagi saya, Vietnam adalah pasukan pilihan dan begitu juga dengan Malaysia.

“Walaupun bukan pasukan pilihan, sudah tentu kami berharap kami mampu menang. Kami sedar kemampuan kami. Harapan kami memang tinggi untuk mendapatkan tiga mata.

“Kami perlukan mata untuk memperbaiki kedudukan selepas berada di posisi terbawah kumpulan. Walaupun beraksi di gelanggang lawan, tetapi kami tetap yakin tiada perkara yang mustahil (untuk menang),” katanya.

Ketika ini, Vietnam muncul pendahulu Kumpulan A selepas mencatatkan kemenangan besar 3-0 ke atas Laos, manakala Malaysia yang sekadar menang tipis ke atas Kemboja berada di tangga kedua.

Berita Harian X