Selasa, 13 November 2018 | 7:34am
VIRGIL van Dijk. - Foto EPA
VIRGIL van Dijk. - Foto EPA

Liverpool tidak gusar kemaraan City

LONDON: Virgil Van Dijk menegaskan Liverpool masih tidak bimbang dengan apa yang dilakukan juara bertahan, Manchester City ketika mereka sukar menghalang kemaraan pendahulu Liga Perdana itu.

Musim lalu skuad kendalian Pep Guardiola mencicirkan hanya 14 mata dalam keseluruhan kempen dengan hanya Reds dan Manchester United menewaskan mereka dalam liga.

United tak berjaya membantu musuh tradisi mereka itu selepas gagal mengulangi kemenangan musim lalu di Stadium Etihad apabila tewas pada saingan kelmarin, bermakna selepas 12 perlawanan hanya Liverpool dan Wolves berjaya menggugat mereka dengan keputusan seri selepas kemenangan berturut-turut City dalam Liga Perdana.

Ia bermakna juara bertahan itu kini di persada dengan dua mata berbanding skuad kendalian Jurgen Klopp, dengan kelebihan 13 perbezaan gol sebelum rehat perlawanan antarabangsa.

Untuk memiliki peluang mengatasi City, Liverpool perlu mendapatkan bantuan pasukan Liga Perdana lain bagi mencuri mata namun Van Dijk berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang merisaukan mereka.

“Mereka adalah juara dan pasukan terbaik dalam liga tetapi kami akan cuba sebaik mungkin bagi menjadi yang terbaik,” kata kapten Belanda itu. 

“Kami tidak perlu melihat orang lain, kami akan melihat perlawanan akan kami hadapi dan cabaran seterusnya buat Liverpool ialah menentang Watford di tempat lawan, yang pasti akan menjadi sesuatu yang mencabar.

“Musim ini sangat panjang. Mereka (City) tidak akan menang setiap perlawanan 5-0 dan akan berdepan cabaran sama seperti orang lain.

“Kami perlu melihat apa yang akan kami hadapi selepas ini dan itu lebih penting daripada melihat orang lain. Hanya itu cara untuk ke depan.” - AGENSI

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X