Selasa, 13 November 2018 | 12:40pm
KETUA jurulatih baharu FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Nidzam akui tugas getir pacu The Fighters

KUANTAN: Ketua jurulatih baharu FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil mengharapkan ‘keajaiban' dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Biarpun bekas pemain Selangor itu akur bakal berdepan cabaran getir dalam membentuk sebuah pasukan mantap, beliau berusaha melakar keputusan terbaik buat The Fighters.

"Di sebalik gembira apabila dilantik selaku ketua jurulatih FELDA United, saya akui cukup gementar berdepan pasukan lebih berpengalaman dalam saingan Liga Super.

"Lebih-lebih lagi, hanya 50 peratus pemain yang beraksi musim ini kekal bersama The Fighters dan sebahagiannya menyaksikan barisan pemain muda menjadi nadi pasukan musim depan.

"Namun, kepercayaan diberi pengurusan kelab turut membantu saya membentuk skuad terbaik untuk bersaing dengan pasukan dibarisi pemain yang jauh lebih bagus dan berpengalaman," katanya.

Justeru, beliau yang pernah mengendalikan SPA FC dan AirAsia FC mengharapkan sokongan padu daripada pengurusan, staf kejurulatihan dan pemain.

Katanya, kerjasama itu bukan sahaja menyuntik motivasi kepada kelab itu, malah diyakini memberi pengalaman berharga buat barisan pemain muda.

"Pengalaman yang bakal dilalui pemain akan mematangkan mereka dan misi utama kelab untuk melahirkan barisan pemain muda yang berkualiti akan tercapai," katanya.

Semalam, pengurusan FELDA United mengumumkan Mohd Nidzam selaku ketua jurulatih baharu kelab itu bagi menggantikan B Sathianathan yang membuat keputusan meninggalkan The Fighters.

Musim ini, Mohd Nidzam bertindak sebagai penolong jurulatih kelab itu dan membantu FELDA United muncul juara Liga Perdana, sekali gus layak beraksi di Liga Super musim 2019.

649 dibaca
Berita Harian X