Jumaat, 16 November 2018 | 4:49pm

3 lulus, 6 ditolak

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meluluskan tiga daripada sembilan permohonan pasukan Liga Perdana untuk mendapatkan lesen kebangsaan.

Tiga pasukan itu termasuk FELDA United FC dan UiTM FC yang lulus dalam permohonan mereka manakala MIFA berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan sekatan.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif, Rabu lalu.

Pengesahan FAM itu menyaksikan FELDA United tidak mengulangi kesilapan sama seperti musim lalu apabila mereka terpaksa diturunkan ke Liga Perdana kerana gagal mendapatkan lesen kebangsaan.

Skuad The Fighters yang muncul juara Liga Perdana musim ini akan kembali bersaing dalam kancah Liga Super musim depan.

Sementara itu, permohonan enam pasukan - Sabah, Sarawak, FELCRA FC, UKM FC, PDRM dan Pulau Pinang - ditolak oleh FAM kerana gagal menepati kriteria yang ditetapkan badan induk itu.

“Bagi pasukan yang gagal, mereka sudah diberikan surat pemakluman dan masih boleh merayu untuk mendapatkan lesen kebangsaan seperti dinyatakan dalam Artikel 3.4.2 Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 dan rayuan akan didengar dalam masa terdekat.

“Lesen kebangsaan yang dikeluarkan ini sah untuk tempoh satu musim sahaja iaitu bagi musim 2019 dan sepanjang musim itu,” menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan, hari ini.

“Jika mana-mana pasukan didapati melanggar artikel dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018 atau mempunyai kes berkaitan dengan FIFA dan AFC, lesen kebangsaan mereka boleh ditarik balik.”

Bagi mendapatkan lesen kebangsaan, pasukan perlu melepasi penilaian berdasarkan enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan, seperti yang termaktub dalam peraturan pelesenan itu.

Menerusi kenyataan sama, Stuart menjelaskan tiga pasukan yang lulus lesen kebangsaan boleh beraksi di Liga Super musim depan, jika layak.

“Harus diingat kelab tidak perlu lesen kebangsaan untuk menyertai Liga Perdana musim 2019. Bagaimanapun, kelab wajib mempunyai lesen kebangsaan untuk menyertai Liga Perdana dari musim 2020 dan seterusnya,” katanya.

Berita Harian X