Sabtu, 17 November 2018 | 6:40pm
PARK Sang-heo

Sang-heo lega taktik menjadi

JURULATIH Vietnam Park Sang-heo yakin anak buahnya sudah mempamerkan potensi sebenar untuk merebut kejuaraan Piala AFF selepas menewaskan Malaysia 2-0 dalam aksi Kumpulan A di Stadium Nasional My Dinh, malam tadi.

Taktikal pengendali kelahiran Korea Selatan itu yang banyak bertahan dan hanya melakukan serangan balas pantas jelas membuahkan hasil apabila menyumbat gol menerusi Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Anh Duc pada setiap babak.

Kemenangan itu membolehkan skuad The Golden Dragons dalam posisi terbaik untuk mara ke separuh akhir selepas turut mengalahkan Laos 3-0 pada aksi pertama dan bakal bertemu Myanmar dan Kemboja selepas ini.

“Saya gembira dengan kemenangan pada malam ini (semalam), tiga mata ini cukup penting kerana kami beraksi di laman sendiri.  Ia perlawanan yang sukar kerana seperti dijangka Malaysia memberi tentangan sengit.

“Namun, kami tidak boleh berpuas hati, kami masih belum layak kerana masih ada lagi perlawanan, jadi kami kena fokus pada perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada edisi terakhir di Yangon, Myanmar 2016, Vietnam mengalahkan skuad Harimau Malaya 1-0 untuk muncul juara kumpulan namun mereka terkandas di peringkat separuh akhir.

Sang-heo yang membawa skuad bawah 23 tahun Vietnam muncul naib juara Kejohanan AFC di China Januari lalu dan skuad senior layak ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan membuat pertaruhan berani apabila tidak menurunkan kapten Nguyen Van Quyet berdepan Malaysia.

Beliau gembira kerana semua pemain menjalankan tugas dengan baik termasuk penyerang yang digelar ‘Messi Vietnam’ Cong Phuong.

“Saya tidak menurunkan kapten (Van Quyet) kerana saya memilih pemain mengikut strategi permainan dan mengikut kekuatan lawan.

“Chong Phuong pula menjaringkan gol menentang Laos dan sekali lagi dalam perlawanan malam ini (semalam), dia memiliki kemahiran dan boleh menjaringkan gol dalam sudut sukar, jadi saya percaya dia akan menjaringkan gol lagi selepas ini,” katanya.

Berita Harian X