Khamis, 22 November 2018 | 1:08am
ANTHONY Taylor (kiri) dan Pep Guardiola.
ANTHONY Taylor (kiri) dan Pep Guardiola.

Guardiola kena amaran

LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola diberi amaran rasmi oleh Persatuan Bolasepak Inggeris (FA) susulan komennya terhadap pengadil, Anthony Taylor sebelum perlawanan tetangga menentang Manchester United, minggu lalu.

Guardiola melanggar peraturan FA apabila membincangkan mengenai kesesuaian pelantikan pegawai perlawanan itu yang berasal dari pinggiran Manchester.

Sekalipun Guardiola menyokong Taylor dan menolak sebarang potensi berat sebelah, pengurus pasukan tidak dibenarkan bercakap mengenai pengadil sebelum perlawanan.

Bos Manchester United, Jose Mourinho didenda AS$64,000 (RM267,000) pada November 2016 kerana bercakap mengenai Taylor menjelang perlawanan dengan Liverpool.

Begitupun, beliau mengetahui peraturan itu dan sudah diberikan amaran atas kesalahan serupa ketika bergelar jurulatih Chelsea.

Berikutan ia kesalahan pertama Guardiola dan komennya turut dianggap sebagai neutral, difahamkan sebarang bentuk hukuman tidak diperlukan.

Guardiola berkata: “Pengadil tidak mahu melakukan kesilapan kerana beliau tahu semua orang di dunia menyaksikannya. Jika beliau peminat United atau City, semua orang boleh menjadi peminat atas apa saja yang mereka mahukan jadi ia bukan masalah.”

Taylor menerima pujian menggunung susulan prestasinya pada perlawanan itu awal bulan ini yang menyaksikan pendahulu Liga Perdana Inggeris, City menang 3-1. - AFP

Berita Harian X