X
Khamis, 6 Disember 2018 | 2:06pm
MOURIZIO Sarri. - Foto Reuters
MOURIZIO Sarri. - Foto Reuters

Sarri persoal kekuatan mental pemain The Blues

LONDON: Pengurus Chelsea, Mourizio Sarri mempersoalkan kekuatan mental barisan pemainnya selepas mereka tewas 1-2 kepada Wolverhampton Wanderers dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Molineux, awal pagi tadi.

Kekalahan itu nyata tidak dapat diterima Sarri terutama selepas menyaksikan anak buahnya mendahului  hasil jaringan Ruben Loftus-Cheek pada minit ke-18 sebelum mereka gagal menyempurnakan beberapa peluang terhidang bagi menambah gol terutama pada babak kedua.

Sebaliknya, Raul Jimenez dan Diogo Jota masing-masing meledak satu gol bagi memastikan kemenangan milik pasukan tuan rumah.

Chelsea menguasai 70 peratus permainan dengan melakukan 17 percubaan tepat ke pintu gol Wolves dan selepas tamat perlawanan, Sarri hilang kata-kata bagi menjelaskan punca kekalahan anak buahnya.

“Saya fikir kami bermain baik 55 minit pertama. Selepas gol pertama Wolves secara tiba-tiba kami menjadi pasukan yang lain.

“Saya tidak pasti mengapa, tetapi saya sangat bimbang. Bukan disebabkan keputusan perlawanan tetapi kami gagal memberi reaksi yang betul selepas menjaringkan gol pertama.

“Kami hilang semuanya selepas gol pertama lawan. Saya tidak fikir ia disebabkan pertukaran kesebelasan utama sebaliknya ia bergantung kepada mentaliti pemain.

“Kami boleh tewas tetapi bukan dengan cara sebegini,” kata Sarri.

Keputusan itu menyaksikan Chelsea jatuh ke tangga keempat liga selepas 15 perlawanan dan mereka ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu, Manchester City menjelang pertemuan di Stamford Bridge, Sabtu ini. – AGENSI

Berita Harian X