Ahad, 9 Disember 2018 | 11:21pm
SHUHAIRY Norhisham.

Terima kasih FAM, hargai `ekor harimau sejati'

SAYA menyingkap kembali usaha-usaha 'ekor-ekor' Harimau Malaya yang saya ikuti di media sosial. Ada sanggup berhari-hari menaiki bas. Ada juga bertukar keretapi. Ada berhabis duit tiket penerbangan pada saat akhir selain berkereta.

Ada juga yang sanggup menunggang motor secara solo. Ada juga menjual topi keledar kesayangan di mudah.com untuk dapat belanja bas ke Bangkok. Malah tidak ketinggalan ada juga yang melelong barang peribadi. Itu semua kerana mereka `ekor harimau sejati’.

Taniah FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) kerana menghargai 'ekor-ekor' yang sanggup ke Stadium Rajamangala. FAM sanggup memberi keutamaan kepada penyokong yang hadir menyaksikan separuh akhir Piala AFF di Bangkok untuk membeli dua tiket final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sejujurnya penyokong yang selalu hadir perlawanan peringkat kumpulan, separuh akhir akan terlepas tiket perlawanan akhir. Itulah fenomena perlawanan akhir di Malaysia. Kelebihan penyokong yang hadir di Bangkok dapat membeli tiket final pertama amat dihargai.

Sejak Rabu lalu, kita melihat kekalutan sistem pembelian tiket atas talian menerima puluhan ribu pelayar internet. Sistem yang tiada masalah pada peringkat kumpulan dan separuh akhir, menjadi kalut pada jualan peringkat akhir. Seperti dijangka masalah berlaku dan 'ekor' sejati yang menyokong dari awal akan tidak dapat hadir di stadium sendiri.

Begitu juga kekalutan di Stadium Bukit Jalil . Ketika penjualan tiket fizikal semalam. Keliling stadium penuh dengan penyokong beratur bermula tengah malam. Akhirnya, sedikit perebutan tercetus dan ada yang pengsan.

Pada tahun ini, kita masih disajikan perkara kekalutan dan kekecohan pembelian tiket final. Berulang kali. Sudah tiba masa KBS (Kementerian Belia dan Sukan), FAM dan pengurusan stadium mengambil langkah lebih moden dan teratur.

Menurut wartawan Vietnam, negaranya tidak lagi menjual tiket fizikal ketika perlawanan separuh akhkr dan akhir. Semuanya atas talian. Tapi Malaysia masih lagi membuka peluang untuk berlaku kekecohan dengan meminta penyokong beratur membeli tiket.

Sudah tiba masa untuk fikirkan seperti saranan admin Harimau Malaya, sistem pungutan mata penyokong. Penyokong diberi mata setiap kali hadir ke stadium. Pengumpul mata tertinggi akan diberi keutamaan untuk menbeli tiket 'laku keras' seperti perlawanan akhir.

Utamakan 'ekor' harimau sejati. Kepada Harimau Malaya yang akan berjuang di Bukit Jalil esok dan di Hanoi pada sabtu ini , balaslah pengorbanan 'ekor' Harimau Malaya ini. Wahai Harimau Malaya, kami selalu ada, walau dimana berada. Kami disini, terus menjadi, ekor harimau sejati.

4267 dibaca
Berita Harian X