Isnin, 10 Disember 2018 | 12:57pm
PEMAIN Manchester United, Romelu Lukaku (kanan) diasak pemain Fulham, Alfie Mawson pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford. - Foto AFP
PEMAIN Manchester United, Romelu Lukaku (kanan) diasak pemain Fulham, Alfie Mawson pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford. - Foto AFP

Terima kasih Mourinho - Lukaku

LONDON: Romelu Lukaku menyatakan dia sudah jelas dengan peranannya di Manchester United selepas bercakap dengan pengurus Jose Mourinho dan percaya dia kini kembali ke prestasi asal selepas kemerosotan susulan Piala Dunia.

Lukaku menyumbat 27 gol dalam kempen sulung menakjubkan di Old Trafford namun pemain berusia 25 tahun itu kini bergelut untuk menyamai pencapaian itu musim ini.

Bagaimanapun Lukaku menamatkan kemarau gol dalam 12 perlawanan buat United di Southampton minggu lalu sebelum menjaringkan gol di Old Trafford buat kali pertama sejak Mac lalu ketika menang 4-1 ke atas Fulham Sabtu lalu, kemenangan pertama mereka dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Apabila ditanya sama ada gangguan luar menjejaskan persembahannya, Lukaku berkata: “Tidak, sebenarnya tidak.

“Saya hanya fikir perlu bekerja lebih keras. Saya dan pengurus sudah berbincang dengan baik dalam beberapa hari terakhir, yang mana beliau memberitahu apa yang beliau mahukan daripada saya.

“Saya sedar saya sendiri perlu bertindak lebih baik dan cuba meningkat, membaiki permainan saya dan membantu pasukan menang.”

Ditanya sama ada sumbangannya tidak mencukupi, penyerang Belgium itu berkata: “Belum cukup. Saya rasa saya tidak cukup agresif.

“[Menentang Fulham] Saya fikir saya bermain penuh perasaan seperti pemain lain. Bagi saya, gembira untuk bermain pada tahap yang bagus sekali lagi dan kini ia mengenai untuk meningkat serta terus konsisten.”

Lukaku turut menyatakan dia mahu mengurangkan jisim otot yang dibina pada Piala Dunia musim panas lalu yang mana dia menyumbang empat gol untuk membantu Belgium berakhir di tangga ketiga. - Agensi

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X