Selasa, 11 Disember 2018 | 11:25pm
JURULATIH pasukan Vietnam, Park Hang Seo - Foto BERNAMA

Vietnam kecewa Harimau Malaya ikat kedudukan

 

KUALA LUMPUR: Meskipun memiliki kelebihan bagi aksi final kedua Piala AFF 2018,  namun Vietnam jelas kecewa selepas membenarkan Malaysia mengikat kedudukan 2-2 pada aksi final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, jurulatih skuad Naga Emas itu, Park Hang Seo mengakui berpuas hati dengan keputusan 2-2 yang dilakar anak buahnya sebagai bekalan untuk aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini.

PEMAIN Vietnam meraikan gol kedua jaringan Pham Duc Huy (dua dari kanan) ketika menentang Malyasia di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi. - Foto AFP

“Pemain beraksi dengan baik dan menunjukkan semangat juang tinggi apabila dapat menjaringkan dua gol pada aksi malam ini.

“Memang saya kecewa dengan dua gol yang dibolosi namun secara keseluruhannya, kami tidak tewas pada perlawanan di tempat lawan.

“Kini saya perlu mempersiapkan pasukan bagi aksi kedua di tempat sendiri,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, sebentar tadi.

Pada aksi terbabit, Vietnam memperoleh dua gol pantas dalam tempoh tiga minit menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy pada minit ke-25.

Namun, anak buah Tan Cheng Hoe bangkit mengikat kedudukan menerusi tandukan Shahrul Saad (m-36) dan sepakan percuma Safawi Rasid (m-60) sekali gus memberikan peluang kepada Malaysia bagi aksi kedua, Sabtu ini. 

Berita Harian X