Rabu, 12 Disember 2018 | 9:43am
PEMAIN Red Star Belgrade, Dusan Jovancic (kiri) diasak pemain PSG, Edinson Cavani pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Rajko-Mitic, pagi tadi. - Foto AFP

PSG tetap merendah diri

BELGRADE: Pengendali Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel menegaskan mereka perlu kekal merendah diri selepas menumpaskan Red Star Belgrade 4-1, dan layak ke pusingan kedua Liga Juara-Juara, pagi tadi.

Kemenangan perlawanan terakhir peringkat kumpulan itu membolehkan kelab gergasi Perancis berkenaan mengatasi saingan sengit Liverpool dan Napoli untuk muncul juara Kumpulan C.

Jaringan babak pertama Edinson Cavani dan Neymar membuka laluan kepada PSG meraih kemenangan selesa yang dilengkapkan dengan gol tandukan Marquinhos dan ledakan pada masa kecederaan oleh Kylian Mbappe.


PEMAIN Red Star Belgrade, Dusan Jovancic (kiri) diasak pemain PSG, Marquinhos pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Rajko-Mitic, pagi tadi. - Foto AFP

Marko Gobeljic berjaya merapatkan jurang untuk tuan rumah pada awal separuh masa kedua.

Kejayaan Liverpool menumbangkan Napoli 1-0 turut membolehkan PSG muncul juara Kumpulan C dengan 11 mata, dua mata mengatasi skuad kendalian Jurgen Klopp (sembilan mata).

"Kami melakukan kesilapan, namun saya gemar melihat reaksi balas selepas jaringan Belgrade. Kemudian, kami mengawal perlawanan," kata Tuchel.

PSG melangkah ke pusingan kalah mati selepas dua kemenangan berturut-turut iaitu mengatasi Red Star awal pagi tadi dan 2-1 menewaskan Liverpool pada perlawanan kelima kumpulan, untuk kembali menentukan sendiri nasib ke peringkat seterusnya.


PEMAIN PSG, Kylian Mbappe (kanan) diasak pemain Red Star Belgrade, Filip Stojkovic pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Rajko-Mitic, pagi tadi. - Foto AFP

"Buat kali kedua selepas perlawanan Liverpool, kami bersedia untuk perlawanan seperti ini," katanya mengenai PSG yang bermula dengan kekalahan 2-3 kepada Reds di Anfield dan bergelut untuk mengekang Napoli selepas seri dalam dua perlawanan.

Bagaimanapun PSG meledak 10 gol dalam dua perlawanan menentang Red Star, yang menewaskan Liverpool dan mengikat Napoli di Belgrade - membolehkan pendahulu Ligue 1 itu menamatkan saingan di kedudukan teratas kumpulan.

"Kami gembira, kami hadir dan menunjukkan keinginan untuk menang," kata Mbappe.

Ditanya mengenai peluang PSG menjuarai Liga Juara-Juara, Mbappe menambah: "Kami perlu melihat siapa yang akan ditentang. Matlamat adalah ke suku akhir." -AFP

 


PENGENDALI Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel meraikan jaringan Neymar dalam perlawanan menentang Red Star Belgrade pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Rajko-Mitic, pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X