Jumaat, 14 Disember 2018 | 2:28pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (tengah) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Perniagaan Penerbangan) Bo Lingam, bergambar bersama kumpulan Ultras Malaya yang akan menyokong skuad bola sepak Malaysia menentang Vietnam di perlawanan akhir kedua esok Piala Suzuki AFF 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), Sepang. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

'Ekor' Harimau Malaya berlepas ke Hanoi

KUALA LUMPUR: Bergema chant Ekor Harimau Sejati yang dilaungkan Ultras Malaya di pintu pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), pagi tadi.

Mereka mengambil kesempatan berbuat demikian sebelum berlepas pada jam 7.55 pagi tadi ke Hanoi, menggunakan pesawat AirAsia AK9336.

Malah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia (Perniagaan Penerbangan), Bo Lingam serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir yang turut teruja bersama penyokong tegar skuad Harimau Malaya itu menyanyikan chant berkenaan sehingga mengundang orang ramai melihat gelagat mereka.

Seramai 345 ahli Ultras Malaya diterbangkan pesawat khas hari ini dan esok dengan harga istimewa ditawarkan AirAsia, manakala PETRONAS menanggung pembiayaan minyak pesawat.

Malaysia akan berdepan skuad Naga Emas di Stadium My Dinh di Hanoi dalam penentuan final kedua esok melengkapkan kempen merebut Piala AFF kali ini.

Skuad negara akan berentap dengan Vietnam untuk memadamkan defisit seri 2-2 di laman sendiri pada perlawanan akhir pertama Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lalu.

Dalam aksi dramatik Selasa lalu, Harimau Malaya muncul satu-satunya pasukan yang berjaya menjaringkan dua gol dalam satu perlawanan menentang skuad Naga Emas sepanjang kempen kali ini.

Sebelum perlawanan itu, Vietnam cemerlang mengekalkan rekod tanpa bolos pada aksi peringkat kumpulan.

Selepas anak buah Park Hang Seo itu berjaya menyekat pergerakan Malaysia memperoleh gol padang, skuad kendalian Tan Cheng Ho bijak memanfaatkan situasi bola mati untuk meledak dua jaringan menerusi tandukan Shahrul Saad dan sepakan percuma terus Safawi Rasid.

Harimau Malaya bangkit di separuh masa kedua selepas ketinggalan 2-0, menerusi jaringan apabila Vietnam mudah melepasi pertahanan dan mendahului 2-0 menerusi Nguyen Huy Hung pada minit ke-22 dan Pham Duc Huy (m-25).

Berita Harian X