Sabtu, 15 Disember 2018 | 8:36am
PENYOKONG Malaysia bersorak ketika perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 diantara Malaysia menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Piala AFF - 85 peratus undian Harimau Malaya menang

KUALA LUMPUR: Majoriti pembaca Berita Harian Online yakin terhadap kemampuan skuad Harimau Malaya untuk muncul juara Piala AFF dengan menundukkan Vietnam pada perlawanan akhir kedua di Hanoi, malam ini.

Berdasarkan maklum balas pembaca laman sosial Facebook Berita Harian, 85 peratus daripada keseluruhan 11,100 undian sehingga jam 7 pagi tadi mendapati mereka cukup yakin dengan kemampuan Harimau Malaya.

Selebihnya, hanya 15 peratus undian kurang yakin dengan kemampuan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe untuk menjulang trofi AFF kali kedua selepas melakukannya pada edisi 2010.

Dalam undian yang dilakukan sejak dua hari lalu turut menyaksikan pembaca, Nur Jefri meramalkan kemenangan 1-0 berpihak kepada skuad negara, sementara Asri Ahmad meletakkan kemenangan 2-1.

"Positif dalam permainan. Kalau negatif, habis balik tangan kosong. Kawal tekanan itu yang penting," kata Mohd Hafiz Mohd Ropi.

Zamri Dolmanan pula berkata, Malaysia boleh menang jika melakukan jaringan lebih awal.

"Yang penting tingkatkan lagi bahagian pertahanan," kata Rahman Manan.

Situasi itu dikatakan merujuk kepada benteng pertahanan Harimau Malaya yang agak longgar dan kerap terperangkap dengan serangan kilat Vietnam pada aksi perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pada aksi Selasa lalu, Malaysia terikat 2-2 bertemu Vietnam, selepas dikejutkan dengan dua gol awal hasil jaringan Nguyen Huy Hung dan Pham Duc Huy dalam tempoh beberapa minit di separuh masa pertama.

Namun, skuad kebangsaan bangkit menyamakan kedudukan menerusi dua gerakan dalam situasi bola mati, hasil tandukan Shahrul Saad (tendangan sudut) serta sepakan percuma Safawi Rasid.

Berdasarkan undian serta maklum balas pembaca, mereka yakin dan mahukan pemain negara mengulangi kebangkitan penuh menakjubkan seperti yang dilakukan pada edisi 2014.

Ketika itu, Harimau Malaya tumbang 1-2 kepada Vietnam di separuh akhir pada aksi pertama di laman sendiri, tetapi berjaya mencipta kejutan apabila menang 4-2 di Hanoi.

"Ini kalilah. Tak sanggup tunggu lagi 2 (dua) tahun," kata Hasridzuan Hassan.

Anuar Alias pula memberikan kata-kata semangat dengan mengarang pantun khas kepada skuad Harimau Malaya.

"Pemuda tampan berbaju songket, Gadis manis berbaju kebaya, Harimau Malaya mesti bangkit, Pastikan menang dengan bergaya, " tulis Anuar merujuk kepada aksi kedua, malam ini.

Berita Harian X