Sabtu, 15 Disember 2018 | 11:42pm
Penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam (kanan) menepis keluar bola ketika diasak pemain Malaysia, Aidil Zafuan (dua dari kanan) pada perlawanan akhir kedua Piala AFF 2018 di Stadium My Dinh, Vietnam. - NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Gol 'ofsaid' beri kesan kepada Harimau Malaya

PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui jaringan awal Vietnam memberi kesan kepada persembahan anak buahnya yang tumpas 0-1 pada aksi final kedua Piala AFF sekali gus terlepas gelaran menerusi agregat 3-2.

Beliau berkata, ia bukan tugas mudah buat pemainnya mengejar selepas ketinggalan menerusi jaringan Nguyen Anh Duc pada minit keenam meskipun mereka berjaya melakukan kebangkitan tiga kali dalam kempen kali ini.

“Sebelum ini kita dibolosi gol awal dalam tiga perlawanan dan situasi sebegini memang menjejaskan kelancaran permainan kita. Kali ini kita tidak dapat untuk bangkit menyamakan kedudukan meskipun kita ada dua, tiga peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan.

“Pemain sudah memberi aksi terbaik mengikut kemampuan mereka. Pasukan ini dibarisi ramai pemain muda dan mereka adalah taruhan masa depan negara.

“Saya harap mereka akan beraksi lebih konsisten pada masa depan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Bagaimanapun, nasib Malaysia mungkin lebih baik andai jaringan Anh Duc itu yang dikatakan ofsaid tidak dibenarkan oleh pengadil dari Iran, Alireza Faghani meskipun mendapat bantahan pemain negara.

Bagaimanapun, Cheng Hoe enggan mengulas lanjut mengenai jaringan kontroversi itu.

“Saya tidak mahu komen mengenai keputusan itu, saya melihat gol itu menarik dan kami menerima keputusan gol itu,” katanya yang terlepas peluang mengulangi kejayaan 2010 ketika menjadi penolong jurulatih Harimau Malaya.

Dalam aksi di Stadium Nasional My Dinh itu, Malaysia terlepas peluang untuk mengikat kedudukan selepas kuisan Sumareh meleret di tepi tiang gol pada minit ke-10 manakala rembatan Syahmi Safari pula ditepis keluar penjaga gol Dang Van Lam di minit ke-44.

Ini kali ketiga Malaysia gagal di pentas final selepas edisi pertama 1996 dan 2014.

Berita Harian X