Selasa, 18 Disember 2018 | 12:18am
HASAN Salihamidzic - Foto Yahoo! Sports
HASAN Salihamidzic - Foto Yahoo! Sports

Bayern tak sabar jumpa Liverpool

NYON, Switzerland: Bayern Munich tidak sabar untuk bertemu ‘lawan sukar’ Liverpool bagi pemburuan tempat ke suku akhir Liga Juara-Juara, kata Pengarah Sukan gergasi Jerman itu, Hasan Salihamidzic.

Kedua-dua kelab itu kaya dengan tradisi di kejohanan elit itu dengan masing-masing memiliki lima gelaran.

Liverpool ketika ini berada di puncak prestasi dan menghuni tangga teratas Liga Perdana Inggeris manakala Bayern bergelut untuk menyamai standard tinggi kelab itu dalam kancah Bundesliga.

“Itulah pasukan yang paling dinanti-nantikan ketika ini, pendahulu liga di England, dan mereka menampilkan permainan bola sepak yang amat baik, amat fizikal, benar-benar menonjol,” kata Salihamidzic selepas selesai undian peringkat 16 terakhir, hari ini.

“Kami tidak sabar untuk mengharunginya. Ia cukup sukar, tetapi ia sesuatu yang kamu inginkan sebagai pemain.”

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengendalikan kelab seteru, Borussia Dortmund ketika mereka tewas kepada Bayern pada final Liga Juara-Juara pada 2013.

“Klopp adalah jurulatih terbaik, seorang yang turut mempunyai hubungan yang baik dengan media,” kata Salihamidzic. - AFP

Berita Harian X