Khamis, 20 Disember 2018 | 8:20pm
BEKAS kapten FELCRA FC, Shahrom Kalam (dua dari kiri), Mahali Jasuli (tengah) dan R Surendran (dua dari kanan) sertai pasukan PKNS FC. - Foto FB PKNS FC

PKNS ikat tiga tonggak

KUALA LUMPUR: Bekas kapten FELCRA FC, Shahrom Kalam menjadi antara pemain terbaru yang memperkuatkan PKNS FC untuk mengharungi Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Shahrom sah menandatangani kontrak dengan Semut Merah hari ini bersama R Surendran selain bekas pemain kebangsaan, Mahali Jasuli turut menyambung kontrak baharu bersama skuad itu.

Ketua jurulatih PKNS, Datuk K Rajagobal menjelaskan pengalaman luas dimiliki tiga pemain itu amat ditagih bagi memantapkan lagi pasukan itu.

“Kalau anda lihat pemain PKNS musim 2019 dibarisi pemain muda. Oleh itu, kehadiran tiga pemain ini memang diperlukan atas dasar pengalaman luas mereka untuk membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada pemain muda selain boleh memberi impak kepada pasukan.

“Kehadiran mereka saya rasakan sudah cukup untuk melengkapkan kuota pemain tempatan. Jika perlu penambahan, saya akan mempertimbangkan pemain pelapis dari skuad Piala Presiden atau Piala Belia,” katanya.

Berdasarkan pengesahan daripada PKNS, ketiga-tiga pemain itu menandatangani kontrak selama semusim bersama Semut Merah di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, hari ini.

Sementara itu, Shahrom menjelaskan kewibawaan Rajagobal dalam memimpin pasukan menjadi antara faktor utama dia memilih untuk menyertai pasukan itu.

“Terima kasih kepada pengurusan PKNS FC yang menerima saya untuk berkhidmat bersama pasukan ini. Saya yakin mampu membantu PKNS FC mencapai sasaran yang ditetapkan pihak pengurusan,” katanya.

1585 dibaca
Berita Harian X