Isnin, 24 Disember 2018 | 2:32pm
Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya. - NSTP/Rosela Ismail

FAM digesa proaktif selesai kes gaji tertunggak

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menaruh harapan tinggi terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) supaya segera menyelesaikan semua kes isu tunggakan gaji sebelum bermulanya saingan baharu Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Biarpun FAM menerusi Jawatankuasa Tatatertib yang bermesyuarat semalam mengarahkan Kuantan FA dan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) melunaskan segera gaji tertunggak pemain dan pegawai masing-masing, hakikat yang harus diakui masih banyak lagi kes tertunggak termasuk pasukan Perlis, Kelantan dan Terengganu City FC (TCFC).

Menerusi keputusan mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib FAM kali kesembilan itu, Kuantan FA berdepan dengan isu tunggakan gaji yang sangat kritikal membabitkan 44 tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM1.72 juta manakala FAP perlu membayar RM497.000 kepada lapan pemain mereka.

Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya berkata, pihaknya mengharapkan FAM lebih proaktif dalam membendung isu ini tanpa menunggu terlalu lama untuk memutuskan sesuatu kes.

"PFAM sudah menghubungi FAM untuk mendapatkan kepastian tentang kes-kes membabitkan pemain Perlis, Kelantan dan TCFC, dan badan induk itu masih belum lagi memberikan sebarang kepastian mengenai perkara ini.

"PFAM mengharapkan agar FAM dapat memutuskan kes-kes berkenaan sebelum bermula musim 2019 bagi memastikan masalah sama tidak berulang pada musim depan," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Menurut Rezal lagi, dua pasukan berkenaan iaitu Kuantan FA dan Pulau Pinang perlu bertindak segera menyelesaikan tunggakan gaji pemain seperti mana yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

"PFAM menggesa agar pasukan terbabit mengambil tindakan yang serius dan segera selepas keputusan dibuat JK Tatatertib FAM semalam.

"Pemain sudah sengsara terlalu lama untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya demi kelangsungan hidup mereka," katanya.

Berita Harian X